Graduan perubatan terbaik tinggalkan Malaysia setiap tahun

Gambar hiasan (Gambar kecil: Dr Adeeba Kamarulzaman)
Gambar hiasan (Gambar kecil: Dr Adeeba Kamarulzaman)
A
A
A

SHAH ALAM - Kegagalan kerajaan menyelesaikan isu dalaman kakitangan penjagaan kesihatan menyebabkan sekurang-kurangnya 30 graduan perubatan terbaik yang dilahirkan Universiti Malaya (UM) meninggalkan Malaysia saban tahun.

Bekas Dekan Fakulti Perubatan UM, Dr Adeeba Kamarulzaman berkata, negara kehilangan hampir RM1 juta membabitkan kos untuk melatih setiap pelajar tersebut apabila mereka akhirnya bekerja di luar negara.

Tambahnya, keadaan bertambah serius apabila pegawai perubatan Malaysia kini akan dihantar ke United Kingdom (UK) bagi mengatasi masalah kekurangan kakitangan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan (NHS) di negara itu.

"Disebabkan kekurangan jawatan dan laluan latihan yang jelas, setiap tahun UM kehilangan sekurang-kurangnya 30 (graduan) yang terbaik dan cemerlang kepada Singapura.

"Ingat, kos hampir RM1 juta (digunakan) untuk melatih setiap pelajar. Kini, kami juga nampaknya akan membantu mengatasi kekurangan kakitangan NHS dengan menghantar pegawai perubatan kami ke United Kingdom," katanya menerusi hantaran di Twitter miliknya pada Khamis.

Adeeba berkata, penghijrahan membabitkan doktor dan pegawai perubatan termasuk kini golongan jururawat disifatkan amat membimbangkan sekiranya tiada jalan penyelesaian yang serius berkaitan perkara itu.

"Saya tidak menyalahkan golongan doktor muda dan baharu ini kerana saya juga akan membuat perkara yang sama jika ada peluang lebih baik.

"Kita yang mengecewakan mereka. Bagaimanakah kita boleh berharap untuk membina sistem kesihatan yang berdaya tahan dan bertaraf dunia apabila kita berdepan dengan isu penghijrahan ini?" ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan dibuat Adeeba itu dipercayai bagi merujuk kepada perjanjian dimeterai di antara Malaysia dan UK yang mana kakitangan penjagaan kesihatan Malaysia boleh menjalani latihan di UK dan bekerja dengan NHS di negara berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!