Banjir: Wanita OKU bersyukur selamat berpindah ke PPS

Norazlinda bersama anak ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan Alor Pasir.
Norazlinda bersama anak ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan Alor Pasir.
A
A
A

TANAH MERAH - Seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU), Fizikal Norazlinda Deraman, 31, terpaksa menggunakan perahu, kerusi roda dan motosikal roda untuk meredah banjir dalam kejadian Sabtu lalu.

Norazlinda yang cacat bahagian kaki sejak lahir dibantu abangnya, Alias Deraman, 43, dan penduduk kampung untuk sampai ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Alor Pasir di sini.

Menurut Norazlinda, pada jam 4.30 pagi, abangnya membawanya dengan mendayung sampan selama lima minit ketika air setinggi 1.5 meter untuk ke kawasan tinggi.

"Ketika itu saya bersama anak, Nor Amalina Mohd Faizal yang berusia sembilan tahun.

"Selepas itu kakak ipar, Alawiyah Ramli, 41, menolak saya menggunakan kerusi roda sejauh 50 meter dan meredah air sedalam 0.3 meter untuk ke kawasan lebih selamat," katanya ketika ditemui pemberita di PPS SK Alor Pasir.

Katanya, kemudian seorang penduduk membantu membawanya dan anak menggunakan motosikal roda tiga ke PPS kira-kira 20 minit perjalanan.

"Saya memang tidak sangka dan terkejut kerana banjir mencecah loteng rumah akibat hujan sangat lebat seperti bah merah.

"Banyak barang sudah rosak dan tidak sempat diselamatkan. Saya bersyukur kerana kakak ipar banyak membantu mengemas rumah dan kelengkapan saya ketika banjir," katanya yang tinggal di Kampung Padang Kijang.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!