Lelaki OKU dijel tiga tahun

Khairul Amri diiringi polis di mahkamah hari ini.
Khairul Amri diiringi polis di mahkamah hari ini.
A
A
A

IPOH - Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh mahkamah sesyen hari ini setelah mengaku bersalah memecah masuk dan mencuri di sebuah rumah di Parit, bulan lalu.

Khairul Amri Ulul Azmi, 33, yang bekerja selaku pemetik buah kelapa sawit di kampungnya, didakwa melakukan perbuatan berkenaan di sebuah rumah di Kampung Telok Manis, Layang-Layang Kiri di Parit antara jam 12 tengah malam sehingga 3 pagi pada 24 Mac lalu.

Antara barangan yang terlibat adalah wang tunai berjumlah RM520, tabung, seutas jam tangan jenis Casio, tiga utas rantai leher emas, tiga bentuk cincin emas dan sebuah telefon bimbit yang dianggarkan bernilai RM10,000.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki yang kudung kaki kanannya dalam nahas jalan raya pada 2017 lalu itu, didakwa melakukan perbuatan berkenaan dengan niat.untuk mencuri barangan berharga di rumah berkenaan.

Hakim Mahkamah Sesyen, Azman Abu Hassan menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap Khairul Amri bermula daripada tarikh dirinya ditahan pada 2 April lalu.

Azman kemudiannya turut memerintahkan Khairul Amri untuk memperbaiki dirinya di sepanjang tempoh tahanannya dengan mempelajari ilmu agama dan menjadikan hukuman berkenaan sebagai pengajaran untuk tidak diulangi lagi pada masa hadapan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!