Lelaki di penjara dan denda kerana cabul, tunjuk kemaluan
Majistret Nurul Izzah Shaharuddin menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM3,000 ke atas Yap Jian Sheng, 24, kerana mencabul seorang wanita berusia 27 tahun di sebuah kediaman di Kepong pada 2 pagi, 14 Okt lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.
Lelaki itu juga didenda RM3,000 kerana mendatangkan kegusaran terhadap seorang wanita berusia 26 tahun dengan menunjukkan kemaluannya di lokasi sama pada jam 1.30 pagi, 19 Oktober lepas, mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda atau kedua-duanya.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap, 20 Disember lepas dan dipenjara tiga minggu sekiranya gagal membayar denda RM6,000 itu.
Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Diana Mohamad Saad memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh mengambil kira trauma yang dialami kedua-dua mangsa.
Jian Sheng yang masih bujang dan tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan atas alasan dia penanggung utama keluarga yang menjaga ibu dan bapanya.
Sementara itu di Mahkamah Sesyen, Jian Sheng mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berumur 13 tahun pada jam 8.30 malam, 25 November lepas dan seorang lagi remaja perempuan berusia 16 tahun pada jam 6.30 petang, 11 Oktober lepas, kedua-duanya di lokasi sama di Kepong.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta Seksyen 15 (a) (i) akta sama membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaludin tidak menawarkan jaminan dengan alasan tertuduh akan mendatangkan risiko kepada masyarakat, namun Jian Sheng merayu diberikan ikat jamin.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Hakim Tasnim Abu Bakar tidak menetapkan sebarang jaminan dan 31 Januari 2023 ditetapkan untuk sebutan semula kes. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!