3 lelaki periksa penyanyi disahkan polis berpakaian preman

Anbalagan
Anbalagan
A
A
A

SERDANG - Polis mengesahkan tiga lelaki yang tular membuat pemeriksaan terhadap empat wanita yang juga anggota sebuah kumpulan nyanyian tempatan di tepi jalan adalah anggota polis berpakaian preman.

Kejadian berkenaan telah dimuat naik menerusi Twitter rasmi kumpulan berkenaan mendakwa sewaktu kejadian mereka yang baru selesai latihan dan sedang menunggu kenderaan untuk pulang sebelum dihampiri tiga lelaki tidak dikenali.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, setakat ini tiada laporan diterima daripada mana-mana pihak berhubung kejadian berkenaan.

"Tiga anggota berkenaan adalah dari Bahagian Siasatan Jenayah, Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.

"Semasa kejadian mereka membuat pemantauan kegiatan Ops Pusat Hiburan dan Rondaan Cegah Jenayah di sekitar Puchong Jaya dan mendapati empat wanita dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan sekitar jam 11.30 malam," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut ciapan yang dimuat naik pada Selasa, kumpulan berkenaan mendakwa tiga lelaki berkenaan yang berpakaian preman telah meminta mereka menunjukkan kad pengenalan tanpa memperkenal diri dengan cara yang betul.

Kumpulan itu turut mendakwa bahawa apabila mereka mempersoalkan tindakan pemeriksaan berkenaan tiga lelaki terbabit memberi jawapan dengan cara yang kasar membuatkan mereka rasa takut.

Sehubungan itu, Anbalagan berkata, siasatan dalaman akan dijalankan terhadap anggota berkenaan seandainya terdapat salah laku semasa menjalankan tugas dan meminta selebriti berkenaan supaya tampil membuat laporan.

Artikel Berkaitan:

"Tiga anggota berkenaan telah memperkenal diri dan menunjukkan kad kuasa polis dan meminta kad pengenalan empat wanita berkenaan untuk membuat semakan rekod jenayah melalui sistem MCAD.

"Setelah selesai pemeriksaan kesemua wanita berkenaan dibenarkan beredar dari lokasi pemeriksaan setelah tidak menemui sebarang kesalahan dilakukan," katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan, pemeriksaan ke atas individu mencurigakan adalah sebahagian tugas utama pihak polis bagi memastikan keamanan awam terjamin terutama pada waktu malam.

"Pemeriksaan berkenaan tertakluk di bawah Seksyen 3(3) Akta Polis 1967 dan Peraturan 7(1) Peraturan Pendaftaran Negara 1990," ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!