Suami pengasuh ditahan disyaki cabul kanak-kanak dua tahun

No Image Caption
A
A
A

SEPANG - Seorang lelaki yang bekerja sebagai pembantu pengasuh ditahan pada Khamis kerana disyaki terlibat kes serangan seksual terhadap seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang diasuh isterinya di sebuah rumah di sekitar Dengkil, di sini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang wanita tempatan yang merupakan seorang doktor di Hospital Putrajaya.

"Siasatan dijalankan mendapati mangsa iaitu seorang kanak-kanak perempuan mengadu kesakitan selepas diambil dari rumah pengasuh di Cybersouth, Dengkil pada jam 6.30 petang 19 Disember lalu.

"Susulan itu, mangsa telah dibawa ibunya ke hospital untuk membuat pemeriksaan dan mendapati kesan calar sepanjang 0.5 sentimeter (cm) di bahagian kemaluan mangsa," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Wan Kamarul berkata, polis telah merakam keterangan daripada ibu mangsa yang mendakwa perbuatan itu disyaki dilakukan oleh suspek yang berusia 25 tahun.

Terdahulu, satu video berdurasi dua minit 11 saat tular di media sosial memaparkan seorang kanak-kanak mengadu kepada ibunya bahawa dia mengalami kesakitan di bahagian kemaluan.

Apabila disoal ibunya, kanak-kanak berkenaan mendedahkan bahawa seorang lelaki yang dikenalinya sebagai 'teacher' telah menyentuh bahagian kemaluan mangsa.

Sehubungan itu, Wan Kamarul berkata, suspek telah ditahan dalam satu serbuan di sekitar Sepang kira-kira jam 5 petang, Khamis.

Artikel Berkaitan:

"Suspek akan direman bagi membantu siasaran mengikut Seksyen 14(A) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017," ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!