Kedua-dua Speaker sepakat realisasi Transformasi Parlimen
KUALA LUMPUR - Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul sepakat untuk merealisasikan kembali cadangan Transformasi Parlimen yang diluluskan secara prinsip sebelum ini.
Kata sepakat itu dicapai ketika Johari membuat kunjungan hormat ke pejabat Rais pada Khamis.
Menerusi kenyataan bersama, kedua-dua speaker itu berkata, perbincangan itu menyentuh tentang pentingnya meminda dan memperkasakan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 serta mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 agar konsep pengasingan kuasa antara legislatif dan eksekutif benar-benar dapat dijelmakan sebagaimana termaktub dalam Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan.
"Selain itu, kedua-dua Yang di-Pertua Dewan juga akan meneliti untuk menggubal kod etika khas bagi Ahli Parlimen agar persidangan dapat dijalankan dengan lancar dan meletakkan kedudukan Parlimen kembali dihormati," katanya dalam satu kenyataan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!