Kemboja hukum penjara 36 tokoh pembangkang

Hun Sen didakwa menggunakan kuasa mahkamah untuk 'menyekat' pihak lawan. - Foto Agensi
Hun Sen didakwa menggunakan kuasa mahkamah untuk 'menyekat' pihak lawan. - Foto Agensi
A
A
A

PHNOM PENH - Sebuah mahkamah di Kemboja pada Khamis menjatuhkan hukuman penjara ke atas 36 tokoh pembangkang termasuk pemimpin utama puak itu, Sam Rainsy yang hidup dalam buangan di Perancis sejak 2015.

Rainsy didakwa melarikan diri kerana mahu mengelakkan siri pertuduhan yang dikenakan ke atasnya termasuk dakwaan menyerahkan wilayah negara itu kepada entiti asing.

Kumpulan hak asasi manusia, Licadho memaklumkan seramai 11 anggota Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja (CNRP) pimpinan Rainsy yang dibubarkan pada 2017 dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dilucutkan hak untuk mengundi atau bertanding bagi tempoh lima tahun.

Sementara itu, 22 aktivis dihukum penjara lima tahun manakala tiga defendan dikenakan hukuman ditangguhkan berhubung kes ahli politik pembangkang yang hidup dalam buangan, Mu Sochua yang didakwa cuba memasuki Kemboja pada Januari 2021.

Difahamkan, hanya tiga defendan berada di bawah tahanan pihak berkuasa manakala 33 yang lain di luar negara atau di lokasi tidak diketahui.

"Saya amat kecewa dengan keputusan itu," kata peguam defendan, Sam Sokong sambil menambah beliau akan berbincang dengan anak guamnya sama ada mahu mengemukakan rayuan atau tidak.

Ketika ini, beberapa pengkritik percaya Perdana Menteri, Hun Sen, 70, yang merupakan pemimpin paling lama memerintah di Asia menggunakan kuasa mahkamah untuk 'menyekat' pihak lawan, memenjarakan aktivis dan pejuang hak asasi manusia.

Beliau turut berikrar untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum 2023 dan menzahirkan sokongan kepada anak sulungnya, Hun Manet sebagai penggantinya. - AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!