Jemaah umrah tidak undi: Ambil positif teguran Hadi - DUPP
SHAH ALAM - Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) mengajak semua pihak supaya bermuhasabah serta mengambil sisi pandang positif terhadap teguran Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai kelompok yang terlepas menunaikan tanggungjawab mengundi disebabkan ibadah umrah.
Ketua DUPP, Datuk Ahmad Yahaya berkata, perkara itu menjadi tanggungjawab Abdul Hadi dalam menyampaikan sesuatu yang hak dan memandu masyarakat dalam pandangan syarak betul.
Menurutnya, beruntung rakyat berada dalam masyarakat yang masih dipimpin dan dibimbing oleh para alim ulama yang mursyid.
"Atas prinsip yang sama, keperluan menunaikan tanggungjawab mengundi juga besar dalam negara. Keutamaan ini dicerap daripada dua maslahah (kebaikan) bersifat individu mahupun ummah.
"Bukan bermaksud ibadah umrah itu disangkal, tetapi keutamaan ummah itu sangat dititiberatkan untuk diutamakan," katanya di Facebook pada Khamis.
Semalam, Abdul Hadi melayangkan surat terbuka kepada jemaah haji dan umrah yang tidak mengundi sehinggakan pemerintahan Islam tidak dapat dilaksanakan.
Katanya, kira-kira 98 peratus orang bukan Islam dari seluruh negara dan pelosok dunia yang jauh dikerah untuk mara mengundi bagi mendapatkan kuasa di tanah air kita dengan menyokong DAP dan kumpulannya yang menjadi wadah perjuangannya walaupun mereka mengeluarkan belanja sendiri untuk pulang mengundi.
Tambah Ahmad, teguran Abdul Hadi mengambil tanggungjawab yang besar menyampaikan pandangan berdasarkan sisi keutamaan dalam konteks agama.
"Beliau menulis menyampaikan teguran ibarat seorang guru yang mendidik anak muridnya. Pedih untuk diterima tetapi begitulah hakikatnya, tiada siapa boleh mengubah prinsip keutamaan yang digariskan oleh syarak.
"Perkara ini bersangkut paut dengan kefahaman terhadap mempertimbang dan menentukan keutamaan dalam setiap tindak tanduk umat Islam," jelasnya.
Sementara itu, Ahmad turut memetik pandangan Fiqh Ma'alat yang sangat mempengaruhi tindakan seseorang Muslim ketika berhadapan dengan kemaslahatan ummah dan negara.
"Sudah tentu aspek menentukan kepimpinan kerajaan sangat mustahak untuk dipertimbangkan," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!