PPM tangkap nelayan Indonesia, rampas bot
PELABUHAN KLANG - Pasukan Polis Marin (PPM) menahan sebuah bot bersama nelayan warga asing menerusi Ops Gelora, di Pulau Ketam, di sini, semalam.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Khairuddin Jamal berkata, operasi kira-kira jam 11.30 pagi itu berjaya mengesan sebuah bot kelas A dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, pemeriksaan kemudian menahan tiga warga Indonesia melibatkan seorang tekong serta dua awak-awak berusia 34 hingga 48 tahun.
"Semakan mendapati, ketiga-tiga warga asing ini gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah serta lesen bot.
"PPM telah bertindak merampas bot dengan peralatan seperti set GPS dan rawai serta kira-kira 10 kilogram ikan," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Beliau berkata, dianggarkan kesemua nilai rampasan bernilai RM45,100.
Katanya, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 serta Akta Imigresen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!