Projek telah terima SST tidak akan dibatalkan
Beliau berkata, ia merupakan dasar kerajaan sedia ada dan memberi jaminan projek penting dan kritikal yang memerlukan tindakan segera tidak akan dibatalkan.
"Apabila kerajaan sekarang ambil alih, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mengarahkan mana-mana projek yang belum dianugerah SST, kena buat secara tender. Dan kalau projek telah diluluskan secara rundingan terus, ia perlu ditender semula,” katanya pada sidang media selepas program pemerkasaan sistem pengurusan keselamatan trafik jalan raya di sini pada Khamis.
Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Pengangkutan bersetuju membuat semakan semula ke atas lima projek pembangunan yang melibatkan nilai kontrak keseluruhan hampir RM650 juta untuk dilaksanakan secara tender terbuka atau tender terhad.
Anthony berkata kelima-lima projek itu sebelum ini diluluskan untuk dibuat perolehan secara rundingan terus, namun surat setuju terima belum dikeluarkan.
Mengenai projek landasan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Anthony berkata, penjimatan kos pembangunan keseluruhan (TDC) RM11.01 bilion adalah hasil rundingan sebanyak dua kali yang dilakukan sejak 2018.
Katanya, ECRL 3.0 (Projek ECRL terkini) adalah berjumlah RM74.96 bilion dengan kos pembinaan rendah sebanyak RM50.27 bilion, manakala kos lain antaranya Faedah Semasa Pembinaan (IDC) dan kos pengambilan tanah berjumlah RM24.69 bilion.
Semalam, Anwar dilaporkan berkata, ECRL akan diteruskan dengan pengurangan kos sebanyak RM11.01 bilion berbanding kos keseluruhan asal berjumlah RM85.97 bilion yang diluluskan pada 2016.
Anwar berkata, kos keseluruhan ECRL lebih rendah walaupun ada penambahan permohonan dari segi kos berikutan laluan yang baharu dan projek tersebut masih terikat dengan perjanjian yang lama. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!