Pesara guru hilang RM50,000 dalam bank
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seorang warga emas hilang RM50,000 wang persaraan dan simpanan peribadinya di bank menerusi puluhan transaksi yang dilakukan oleh pihak tidak diketahui sejak 2020.
Pesara guru, Kamaruddin Idris, 85, berkata, kehilangan tersebut tidak diketahui dan disedari sehingga dia tidak boleh mengeluarkan duitnya pada 19 Disember lalu.
Bagaimanapun, menurutnya, setelah melaporkan perkara itu, bank memaklumkan pengeluaran tersebut adalah sah disebabkan mempunyai nombor kod pengesahan transaksi (TAC) yang telah dihantar ke nombor telefonnya.
Namun begitu, Kamaruddin menyatakan bahawa dia tidak pernah menerima nombor pengesahan tersebut atau memberikannya kepada orang lain.
Menurut anaknya, Nor Aini Kamaruddin, 59, telefon bimbit ayahnya itu hanyalah untuk menjawab panggilan telefon memandangkan Kamaruddin tidak arif untuk menggunakannya.
Tambahnya, laporan polis pada 20 Disember telah dibuat namun masih tiada tindakan lanjut memandangkan polis menyarankan untuk berurusan dengan bank terlebih dahulu.
“Apabila kami mahu berurusan dengan bank, mereka minta pula kami berurusan dengan telco yang digunakan dan juga satu portal beli-belah dalam talian terkenal memandangkan transaksi pelik itu didakwa adalah untuk pembelian di aplikasi itu.
“Terdapat banyak transaksi pelik bermula 2020. Bermula dengan RM400 pada awalnya. Dan pada 2022, transaksi mula dilakukan sebanyak RM2,000 ke atas. Dalam satu bulan ada dalam enam transaksi.
“Jadi kami adik-beradik berasa pelik sebab selalu ayah akan keluarkan duit hanya sekitar RM1,000 hingga RM1,500 sebulan. Yang selainnya, memang bukan daripada ayah. Transaksi juga pelik kerana dalam penyata tidak diberitahu wang dihantar ke mana.
“Bila tanya bank, katanya transaksi ke portal beli-belah ini. Lagi timbul syak wasangka memandangkan ayah saya sudah tua dan dia memang tidak tahu menahu berkenaan beli-belah dalam talian ini. Nama aplikasi ini pun dia tidak tahu.
“Apabila tanya bank, mereka hanya seperti lepaskan batuk di tangga. Tidak bertanggungjawab dan hanya menyatakan duit sudah tidak boleh diselamatkan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya pada Khamis.
Tambah Nor Aini, lebih meragukan apabila pihaknya meminta kenyataan transaksi atau bukti daripada institusi kewangan terbabit, namun bank itu hanya menunjukkan dokumen yang ringkas tanpa resit transaksi.
“Sepatutnya, bank perlu tunjukkan bukti dengan resit transaksi. Kalau Google Excel ini, semua orang boleh sunting. Mereka hanya tunjukkan nombor TAC. Jadi, saya curiga dan tidak yakin dengan perkara ini.
“Saya tidak tahu sama ada duit ayah dikeluarkan oleh bank ataupun scammer,” ujarnya.
Tambahnya, orang ramai terutama golongan warga emas perlu berhati-hati dan sentiasa meminta penyata bank agar perkara tersebut tidak berlaku kepada orang lain.
“Selain itu, saya harap juga semua bank dapat meningkatkan tahap keselamatan agar orang ramai termasuk golongan warga emas tidak terlibat dengan perkara ini terutama mereka yang berseorang atau di kampung.
“Pihak Bank Negara Malaysia (BNM) juga perlu mainkan peranan penting untuk mengawal semua bank di bawah seliaannya,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!