Op Soga IX berkas 690 'bookie' judi Piala Dunia

Antara aplikasi perjudian judi bola sepak Piala Dunia 2022 yang dikesan polis dalam serbuan Op Soga IX.
Antara aplikasi perjudian judi bola sepak Piala Dunia 2022 yang dikesan polis dalam serbuan Op Soga IX.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan kegiatan perjudian bola sepak Piala Dunia Qatar 2022 dengan penahanan 690 'bookie' atau 'punter' menerusi serbuan di seluruh negara sejak 19 November lalu.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, statistik Op Soga IX sehingga 21 Disember itu dijalankan hasil 530 serbuan.

"Selangor merekodkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu seramai 179 orang diikuti Kuala Lumpur (142), Johor (59), Negeri Sembilan (57), Sarawak (54), Pulau Pinang (43), Sabah (41) dan Kedah (32).

"Bagi negeri lain adalah Melaka (27), Pahang (18), Perak (17), Terengganu (11), Perlis (6) serta Kelantan (4)," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Antara individu yang ditahan sepanjang Op Soga IX.
Antara individu yang ditahan sepanjang Op Soga IX.

Beliau berkata, polis telah merampas nilai had kredit dalam perisian berjumlah RM22.3 juta, dolar Hong Kong 382,995.60, wang tunai RM518,563 serta 500 dolar Singapura.

Katanya, turut dirampas antaranya 74 komputer, 47 komputer riba, empat tablet, telefon bimbit (817), mesin kira-kira (3), router (24), 120 helai keping kertas catitan disyaki pertaruhan serta 27 keping jadual perlawanan bola sepak Piala Dunia.

Tambahnya, kesemua tangkapan adalah 'bookie' atau 'punter' dan disiasat mengikut Akta Pertaruhan 1953 serta Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Artikel Berkaitan:

"Sepanjang tempoh ini juga, sebanyak 530 kertas siasatan dibuka.

"Sebanyak 328 kertas siasatan masih dalam tindakan, 202 kertas siasatan telah berjaya dituduh selain 87 kertas siasatan telah disabitkan dan dijatuhkan hukuman di mahkamah," ujarnya.

Tegasnya, Polis Diraja Malaysia khususnya Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) akan berusaha membanteras kegiatan perjudian.

"PDRM harap masyarakat komited dalam menyalurkan maklumat berkaitan perjudian yang berlaku di sekeliling mereka melalui talian hotline 016-5773477," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!