Perangi rasuah, PUSPAKOM lafaz Ikrar Bebas Rasuah
SHAH ALAM - Kesungguhan dan iltizam tinggi PUSPAKOM Sdn Bhd (PUSPAKOM) menangani perbuatan rasuah terus diperhebatkan dengan melaksanakan akur janji perangi amalan jijik tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mohammed Shukor Ismail berkata, lebih 70 kakitangan terdiri daripada peringkat pengurusan termasuk dari Sabah dan Sarawak menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).
Menurutnya, ia merupakan kumpulan pertama petugas PUSPAKOM melafaz dan menandatangani IBR bersama pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Program ini amat penting dan bermakna kepada PUSPAKOM kerana ia melambangkan komitmen dan kesungguhan yang berterusan dalam memperkasakan isu integriti dan diharap dapat meningkatkan reputasi syarikat.
"IBR merupakan medium terbaik agar seluruh warga kerja PUSPAKOM bertekad dan bertindak menjauhi diri daripada sebarang perlakuan dan amalan tidak berintegriti dan berunsur rasuah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Majlis lafaz dan menandatangani IBR bersama pihak SPRM itu diadakan di ibu pejabat PUSPAKOM di Shah Alam, baru-baru ini.
Majlis disaksikan oleh Pengarah SPRM Negeri Selangor, Datuk Alias Salim; Timbalan Pengarah SPRM Negeri Selangor, Ridzuan Abdul Malik; Perunding PUSPAKOM, Datuk Samsiah Abu Bakar serta Ketua Seksyen Tadbir Urus dan Integriti, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Hashim Borhan.
Mengulas lanjut, Mohammed Shukor berkata, komitmen PUSPAKOM dalam memerangi rasuah bukan hanya kepada ikrar, tetapi pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan termasuk pembentukan Kerangka Kerja Integriti dan Pematuhan PUSPAKOM (PICF).
Selain itu katanya, jelajah dialog integriti dilakukan di semua cawangan PUSPAKOM seluruh negara di mana taklimat berkaitan integriti dan isu-isu berbangkit dibincangkan bersama-sama kakitangan.
Tambahnya lagi, PUSPAKOM turut menggandakan usaha dengan melaksanakan pendigitalan urus niaga seperti transaksi tanpa tunai sepenuhnya, janji temu pemeriksaan dalam talian, penggunaan peralatan pemeriksaan berautomasi yang tidak boleh dimanipulasi serta aktiviti-aktiviti pemantauan pemeriksaan.
Tegasnya, PUSPAKOM tidak sama sekali akan berkompromi dan melindungi mana-mana individu yang terlibat dengan rasuah.
Tambahnya, pihak pentadbiran telah mula mengorak langkah ke arah memperkasakan integriti dengan melaksanakan pelbagai inisiatif dalam mengekalkan tahap amalan integriti yang tinggi sejak 2011.
Sementara itu, Alias berkata, program lafaz bebas rasuah IBR merupakan satu ikrar dan komitmen sesebuah organisasi untuk menentang dan menjauhi perbuatan rasuah.
"Ikrar yang ditandatangani oleh PUSPAKOM ini menunjukkan komitmen semua warga PUSPAKOM untuk melaksanakan tugas dengan lebih tegas, bertanggungjawab dan sentiasa menjauhkan diri dengan sebarang perlakuan yang tidak berintegriti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!