Penerokaan tanah haram harus ditangani tanpa kompromi

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan memeriksa kawalan kehormat sempena perasmian Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini. - Foto Bernama
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan memeriksa kawalan kehormat sempena perasmian Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah agar kes-kes melibatkan penerokaan tanah secara haram ditangani tanpa kompromi.

Menurut baginda, sikap berlembut dan bertolak ansur dalam mengendalikan kes sedemikian hanya akan memberikan mesej salah dan bakal menggalakkan lebih banyak penerokaan berlaku yang mengundang pembangunan tidak terkawal.

“Pembangunan bukan lesen menghalalkan perbuatan memusnahkan alam sekitar, sekiranya tidak dirancang secara seimbang dan dilaksanakan tanpa kelulusan laporan Penilaian Kesan Terhadap Alam Sekeliling (EIA), khususnya di kawasan tanah tinggi akan merosakkan alam sekitar.

“Pembangunan tidak terkawal yang dilakukan tanpa kebenaran di Tanah Tinggi Kinta bersempadan dengan Cameron Highlands, Pahang dan Lojing, Kelantan dilaporkan telah mengakibatkan hakisan dan kelodak yang serius,” titah baginda sempena istiadat pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Sultan Nazrin mahu bencana daripada sisa toksik yang berlaku di Pasir Gudang, Johor, Mac lalu dijadikan pengajaran bahawa pencemaran alam sekitar perlu diberi perhatian serius.

“Jabatan Alam Sekitar bersama kerajaan tempatan hendaklah bertindak tegas, melakukan pemantauan berkala dan memastikan tahap piawaian alam sekitar dipatuhi, mana-mana kilang yang beroperasi secara haram wajib ditutup tanpa berlengah,” kata baginda.

Baginda turut mengingatkan agar pemimpin yang berada di barisan utama mempamerkan contoh dan membuktikan kesungguhan dalam memerangi gejala rasuah yang terbukti telah meruntuhkan banyak negara dan tamadun.

Artikel Berkaitan:

“Empat kebimbangan utama dalam kalangan warga dunia ialah tadbir urus yang telus, pengangguran, ketidaksamaan sosial dan kemiskinan.

“Keyakinan rakyat terhadap sesebuah kerajaan bergantung pada keupayaannya menangani kebimbangan-kebimbangan tersebut melalui kebijaksanaan kepimpinan yang berupaya melaksanakan program-program secara realistik yang manfaatnya dapat dinikmati secara langsung oleh rakyat,” titah baginda.

Dalam konteks negeri Perak, baginda mahu pentadbiran sekarang menjadikan usaha membantu penduduk tempatan di Pulau Pangkor sebagai agenda pembangunan utama demi memastikan mereka mendapat manfaat dengan pengisytiharan pulau bebas cukai.

Kata baginda, susulan pengumuman Menteri Kewangan mengisytiharkan pulau itu sebagai pulau bebas cukai, kerajaan negeri telah mengemukakan permohonan untuk menetapkan tarikh pewartaan pada 1 Januari 2020.

“Kini pelbagai gerak kerja untuk merealisasikan status berkenaan sedang dirintis, namun usaha untuk membantu penduduk tempatan hendaklah dijadikan agenda pembangunan demi memastikan mereka tidak bernasib Lebai Malang, menang sorak - kampung tergadai, tertinggal sebagai penonton yang pasif, berputih mata, melihat dagang lalu ditanak-sedangkan anak di riba mati tak makan,” kata baginda.

Dalam isu banjir, baginda bertitah bahawa sejak Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kurau yang melibatkan kos RM120 juta siap pada 2016, kawasan lembangan sungai itu seluas 8,200 hektar bebas daripada bencana banjir.

“Kini Projek RTB Teluk Intan Fasa 1 hampir siap dan insyaALLAH projek ini akan membebaskan 500 orang daripada bencana banjir, di samping turut melimpahkan manfaat kepada 15,000 penduduk lain,” kata baginda.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!