Arsenal mahu perkukuh cabaran
PENDAHULU Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal menyasarkan untuk mengukuhkan cabaran kelab London itu pada jendela perpindahan Januari.
Bagaimanapun pengendali sensasi The Gunners, Mikel Arteta menegaskan tumpuan utama kelab itu adalah untuk mengenal pasti pemain yang berkualiti.
The Gunners memasuki rehat Piala Dunia Qatar 2022 dengan kelebihan lima mata ke atas juara Manchester City selepas 14 perlawanan.
Namun akan kehilangan Gabriel Jesus, mangsa pertama kecederaan jangka panjang kelab, selepas penyerang Brazil itu menjalani pembedahan pada lutut susulan insiden yang dialami di Qatar.
“Kami akan aktif pada jendela Januari dan itu bermakna kami sedang berusaha untuk mengukuhkan pasukan...
"Skuad ini tidak memerlukan perbelanjaan mewah dalam setiap jendela perpindahan. Namun perlu bijak mencari pemain yang betul.
"Kelab tahu di mana kami berada dari segi skuad dan jumlah pemain. Kami akan sangat berhati-hati tentang apa yang mahu lakukan semasa jendela perpindahan pemain," kata Arteta kepada pemberita sebelum lawatan Liga Perdana Inggeris ke West Ham United pada 27 Disember ini.
Pada masa sama Arteta mengakui satu tamparan hebat kepada The Gunners apabila kehilangan khidmat Jesus, yang memerlukan tempoh masa untuk kembali beraksi.
Selain itu, pemain sayap Reiss Nelson berkemungkinan tidak akan bermain buat sementara waktu kerana masalah hamstring manakala pemain tengah menyerang Emile Smith Rowe semakin hampir pulih kecederaan pangkal paha.
"Dengan Gabi, sukar untuk menetapkan jangka masa. Namun mengenali dia, saya lebih suka untuk tidak memberi sebarang tarikh.
"Dengan Reiss, tidak akan beraksi untuk sementara waktu. Begitu juga dengan Emile," kata Arteta
Pemain pertahanan tengah Perancis, William Saliba juga akan terlepas perlawanan kerana masih belum pulang dari tugasan antarabangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!