Maxis luaskan khidmat perayauan antarabangsa 5G ke 29 negara
MAXIS Berhad (Maxis) mengembangkan perkhidmatan perayauan antarabangsa 5G ke 29 negara yang membolehkan lebih ramai pelanggan melancong dapat menikmati sambungan berkelajuan tinggi di luar negara.
Ketua Pengguna Maxis, Arjun Varma berkata, ini berikutan pengumuman pada Oktober 2021, Maxis menjadi syarikat telekomunikasi pertama di negara ini yang menyediakan perkhidmatan perayauan antarabangsa 5G kepada pelanggan di Singapura, Thailand dan Indonesia.
“Kami berbesar hati kerana pelanggan dapat menikmati pengalaman 5G terbaik di lebih banyak negara sekarang. Ini tepat pada masanya dengan jangkaan peningkatan pelancong untuk cuti akhir tahun.
“Bersama-sama dengan rakan perayauan, kami berusaha bersungguh-sungguh untuk menyediakan pengalaman kesalinghubungan terbaik di mana sahaja pelanggan berada. Kami juga berharap agar dapat mengembangkan lagi perkhidmatan ke lebih banyak negara dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, perkhidmatan perayauan 5G akan diaktifkan secara automatik di mana-mana peranti yang didayakan oleh 5G, dan akan dikenakan bayaran mengikut pakej perayauan 4G sedia ada.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perayauan 5G Maxis dan untuk melihat senarai negara di mana pengguna Maxis boleh menikmati perayauan 5G, layari https://www.maxis.my/SRJb.
Pengguna Maxis hanya perlu mengakses aplikasi Maxis dan klik pada Maxis Roaming dalam tab perkhidmatan untuk melanggan pelan pilihan mereka.
Selain itu, pengguna juga boleh melanggan secara manual dengan mendail *100#, pergi ke ‘Roaming’, pilih ‘Country’, dan pilih salah satu pas yang tersedia.
Maxis mempunyai rancangan berterusan untuk memperluaskan lagi perayauan antarabangsa 5G mereka ke lebih banyak negara menjelang akhir tahun 2022.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!