Operasi cari pekerja terjatuh air terjun diteruskan
BESUT - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan pekerja penyelenggara yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari tingkat lima air terjun Lata Tembakah, Hulu Besut, di sini pada petang Khamis diteruskan.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, operasi tersebut disertai 39 anggota penyelamat iaitu 20 (bomba) 13 (polis) dan enam anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Beliau memberitahu, operasi itu diteruskan pada pagi Jumaat selepas dihentikan sementara kira-kira jam 8 malam pada Khamis.
"Keadaan cuaca agak buruk malam tadi menyebabkan pasukan penyelamat terpaksa menangguhkan dulu kerja-kerja mencari dan menyelamat.
"Pagi ini SAR bermula agak lewat iaitu kira-kira jam 9 pagi kerana arus sungai masih deras serta keadaan cuaca mendung dan berkabus pada awal pagi tadi. Setakat ini mangsa masih belum ditemui," katanya ketika dihubungi di sini, pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa, Abdul Wahab Mat Sulaiman, 27, yang merupakan pekerja penyelenggara dan pembersihan dipercayai tergelincir sebelum terjatuh dari tingkat lima air terjun Lata Tembakah, Sungai Tenang di Hulu Besut.
Ketika kejadian, mangsa yang juga pekerja syarikat kontraktor di hutan lipur tersebut dikatakan sedang membaiki saluran paip bersama adiknya yang berusia 19 tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!