'GIACC pastikan negara punyai sebuah kerajaan berintegriti'
SHAH ALAM - Cadangan untuk membubarkan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) perlu diteliti kerana agensi berkenaan memainkan peranan yang signifikan terhadap penghapusan rasuah di negara ini.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia, Jais Abdul Karim berkata, sejak ia ditubuhkan pada tahun 2018, agensi inilah sebenarnya yang menggerak usaha governans dan integriti negara.
Malah tambahnya, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa peranan GIACC sangat besar terutamanya dalam memastikan Malaysia mempunyai sebuah kerajaan yang berintegriti.
"Kita menjadi lebih baik dan bukannya dikenali sebagai sebuah negara yang mana amalan rasuah berlaku sewenang-wenangnya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu tegasnya, GIACC juga menjadi cerminan keseriusan kerajaan dalam usaha untuk membanteras rasuah terutamanya dalam kalangan penjawat awam yang masih berada pada tahap membimbangkan.
"Dengan jumlah penjawat awam seramai 1.6 juta yang merupakan tulang belakang negara, GIACC yang dijenamakan semula itu memainkan peranan penting dalam memastikan integriti pentadbiran dan menyokong usaha pertumbuhan ekonomi serta pembangunan negara.
"Kegagalan terhadap memastikan kepatuhan dalam tadbir urus yang baik boleh mengakibatkan berlaku banyak masalah dalam pentadbiran kerajaan, seterusnya memberikan implikasi yang lebih besar kepada negara," katanya.
Jais berkata, GIACC yang lebih segar dan agresif pastinya dapat mengembalikan keyakinan rakyat dan menguatkan operasi kerajaan dengan sistem nilai yang lebih baik.
"Sistem hebahan yang lebih berkesan amat diperlukan kerana tanpa publisiti, masyarakat dan penjawat awam tidak tahu tentang kewujudan agensi penyelaras dan perancang strategi di peringkat dasar seperti ini," katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, kerajaan pimpinannya akan meneliti cadangan untuk membubarkan GIACC.
Anwar berkata, ia selepas banyak fungsi GIACC itu didapati berlaku pertindihan antara agensi penguat kuasa iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
GIACC diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menyelaras dan memantau semua aktiviti berkaitan tadbir urus, integriti dan anti-rasuah di negara ini.
Pusat itu juga bertanggungjawab dalam merancang, menggubal strategi dan menilai polisi bagi memastikan semua urusan kerajaan dilaksanakan berteraskan tadbir urus baik, integriti dan tiada toleransi kepada perbuatan rasuah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!