Golongan muda mula sedar, PH tidak mampu memimpin negara, kata pemimpin UMNO

Norliza Abdul Rahim
Norliza Abdul Rahim
A
A
A

GEORGETOWN- Kemenangan BN di PRK DUN Rantau baru-baru ini membuktikan rakyat terutamanya golongan belia mula sedar dengan ketidakmampuan PH dalam memimpin negara.

Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, rakyat sudah hilang kepercayaan selepas menyedari PH tidak mampu untuk menunaikan janji mereka dalam PRU lalu.

Menurutnya, selain janji, PH juga didapati tidak menyelesaikan masalah rakyat apabila mengurangkan bantuan yang selama ini diberikan ketika pemerintahan BN dahulu.

"Wanita UMNO Pulau Pinang bersyukur dengan kemenangan yang ketiga bagi BN iaitu di PRK DUN Rantau. Sebelum ini, kita sudah mencipta kemenangan di PRK Semenyih dan Cameron Highlands. Dari keputusan ini, jelas rakyat khususnya orang muda mula sedar dengan tahap kemampuan PH.

"Rakyat mula rasa terbeban apabila banyak bantuan dikurangkan. Dengan mengambil kira faktor taraf kehidupan yang semakin meningkat, ia telah membebankan khususnya yang berpendapatan rendah dan sederhana," katanya dalam satu kenyataan media.

Tambahnya, rakyat mula resah dan hilang kepercayaan apabila mendapati kerajaan PH gagal dalam menguruskan kewangan dan ekonomi negara.

"Saya berharap kerajaan dapat memperbaiki pengurusan pentadbiran, kewangan dan ekonomi negara.

"Kami menyokong setiap tindakan dan usaha yang memberi kebaikan kepada rakyat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Utama Mohamad Hassan kerana berjaya memenangi kerusi DUN Rantau.

"Kami berharap agar Mohamad akan menjadi tunjang 'check and balance' terhadap pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan. Kami percaya beliau mampu kerana berpengalaman sebagai menteri besar sebelum ini.

"Kami juga percaya, BN akan menjadi blok pembangkang yang konstruktif dengan sokongan dan bantuan daripada rakan ummah dari parti Pas. Mereka sama-sama berjuang tanpa berputus asa. Ini adalah kemenangan kita semua. Terima kasih juga kepada pengundi DUN Rantau kerana mempercayai kami," katanya.

Sabtu lalu, Mohamad menang dengan 10,397 undi menewaskan calon PH, Dr S Streram, 64, dengan majoriti 4, 510 undi.

Dr Streram memperoleh 5,887 undi manakala dua calon Bebas yang turut bertanding, R Malarvizhi mendapat 83 undi dan Mohd Nor Yassin mendapat 79 undi.

ARTIKEL BERKAITAN: Tok Mat masih berbiso!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!