Peraturan EU jejas perdagangan bebas, adil - TPM
KUALA LUMPUR - Malaysia, sebagai satu daripada negara pengeluar komoditi utama amat bimbang dengan perkembangan terbaharu berkaitan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EU) yang menyasarkan komoditi termasuk minyak sawit, kayu, koko dan getah.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, inisiatif yang melibatkan hanya sebelah pihak ini boleh memudaratkan perdagangan yang bebas dan adil dan membawa impak buruk kepada rantaian bekalan global.
"Beberapa aspek proses penilaian risiko peraturan itu bercanggah dengan komitmen untuk membendung penebangan hutan global dan berisiko menjejaskan negara-negara pengeluar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Fadillah berkata, Malaysia menyokong keperluan bagi pendekatan seimbang antara mencapai matlamat pembangunan dan menangani iklim.
"Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 terus menjadi keutamaan utama bagi Malaysia. Kita telah memulakan inisiatif kemampanan termasuk skim pensijilan nasional seperti skim pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) dan amalan Pengurusan Hutan Mampan (SFM), dengan tujuan untuk memudahkan akses ke Pasaran Tunggal EU.
"Peraturan itu akan memberi bebanan tambahan kepada pengeksport minyak sawit Malaysia ke pasaran EU, terutamanya keperluan bagi kebolehkesanan tambahan dan data yang perlu disediakan kepada pelanggan akhir yang berpangkalan di EU.
"Negara-negara akan diklasifikasikan sebagai ‘risiko tinggi’, ‘risiko standard’ atau ‘risiko rendah’ dan sekatan ke atas komoditi akan sama ada lebih ketat atau kurang ketat, berdasarkan kepada klasifikasi ini,” katanya.
Menurutnya, Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan adalah satu tindakan yang tidak wajar oleh Eropah yang bertujuan untuk menyekat akses pasaran dan melindungi minyak bijian domestik yang kurang efisien dan tidak boleh bersaing dengan kos minyak sawit.
Fadillah berkat,a peraturan itu boleh menjejaskan pekebun kecil dan membawa kepada kenaikan harga makanan serta mengurangkan pengeluaran pada ketika inflasi global yang sedang melonjak tinggi.
"Justifikasi Eropah memperkenalkan peraturan ini adalah berasaskan kepada alasan yang tidak kukuh dan asas saintifik yang lemah. Minyak sawit Malaysia adalah mampan, dan satu daripada minyak sayuran yang paling diperakui di dunia pada hari ini. Standard MSPO telahpun menjamin komitmen Malaysia kepada standard kemampanan yang komprehensif.
"Malaysia akan terus menyediakan minyak sawit yang mampan dan bebas penebangan hutan kepada pelanggan Eropah dan global kita.
"Tidak perlu menambahkan kos dan beban lagi. Ia akan menyinggung Malaysia sekiranya minyak sawit, atau negara, disenaraikan sebagai risiko tinggi oleh Peraturan EU. Tidak ada justifikasi baginya,” katanya.
Menurutnya, peraturan yang tidak perlu itu ke atas minyak sawit memburukkan lagi krisis bekalan makanan, meningkatkan kos makanan, kos tenaga dan menjejaskan ekonomi Eropah serta Malaysia dan membantutkan usaha pembasmian kemiskinan.
"EU perlu menyertai libat urus sebenar dengan negara-negara pengeluar. Malaysia menghargai EU sebagai satu daripada rakan dagang dan pelaburan penting kita.
"Kita bersedia untuk meningkatkan lagi perkongsian yang saling memberi manfaat ini terutamanya dalam memanfaatkan Perjanjian Perkongsian dan Kerjasama (PCA) Malaysia-EU serta kemungkinan penerusan semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-EU,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!