PM Thailand sertai parti baharu tanding pilihan raya
BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha hari ini mengumumkan beliau telah menyertai Parti Ruam Thai Sang Chart (Parti Bangsa Thai Bersatu) untuk bertanding dalam pilihan raya umum yang dijadual diadakan sebelum Mei tahun depan.
Meskipun had penggal lapan tahun sebagai perdana menteri akan berakhir pada 2025, Prayuth sudah memperlihatkan hasratnya untuk bertanding lagi dalam pilihan raya umum akan datang.
"Saya sebelum ini mempertimbangkan untuk menyertai parti Ruam Thai Sang Chart buat seketika...Kini, saya telah memutuskan untuk menyertai parti itu.
"Parti itu akan mencalonkan saya untuk menjadi calon tunggal perdana menteri pada pilihan raya akan datang,” katanya kepada pemberita di luar Rumah Kerajaan di Bangkok hari ini.
Prayuth yang mula memegang tampuk kuasa sebagai ketua tentera dalam rampasan kuasa 2014 berkata beliau memutuskan untuk menyertai pilihan raya kerana beberapa projek yang diterajui pentadbirannya masih belum selesai.
"Saya ingin meneruskan dan menyelesaikan projek-projek itu," kata beliau.
Prayuth berkata beliau telah pun memaklumkan kepada ketua parti Palang Pracharath (PPRP) Prawit Wongsuwan mengenai keputusannya itu.
"Tiada konflik antara kami... Hubungan kami kekal erat,” kata beliau.
Terdahulu, PPRP mengumumkan Prawit akan menjadi calon parti itu pada pilihan raya akan datang.
Andai Prayuth menang dan dipilih sekali lagi sebagai perdana menteri, tempoh perkhidmatan beliau akan dihadkan kepada dua tahun sahaja.
Pada September, Mahkamah Perlembagaan memutuskan Prayuth layak untuk kekal memegang jawatan sehingga 2025.
Parti Ruam Thai Sang Chart telah ditubuhkan pada Mac diketuai bekas Menteri Kehakiman Pirapan Salirathavibhaga. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!