Bincang usaha tingkat sistem kesihatan di Johor - Tian Soon
JOHOR BAHRU - Pelbagai permasalahan dan usaha meningkatkan sistem perubatan negeri dibincangkan dalam pertemuan bersama Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa di Putrajaya pada Jumaat.
Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, peratusan penggunaan katil hospital yang amat tinggi di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) menjadi antara yang dibincangkan.
"Penggunaan katil hospital yang amat tinggi, pesakit perlu menunggu masa yang panjang baru boleh diterima rawatan. Oleh itu, Johor harus menambah sebuah hospital pakar untuk menanggung kesibukan kedua-dua hospital itu.
"Sebelum ini, kerajaan negeri telah bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membina hospital pakar di Kempas dengan keluasan tanah sebanyak 512.8 ekar.
"Justeru itu, kerajaan negeri berharap projek ini akan disenaraikan di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12)," katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi pada Jumaat.
Tian Soon berkata, infrastruktur yang rosak akibat kes kebakaran di HSA sebelum ini masih belum dibaik pulih dan dinaik taraf.
"Ini kerana HSA baharu terima peruntukan sebanyak RM140 juta untuk menukar wayar elektrik di bangunan lama, sistem bekalan elektrik dan pembangunan sistem IT. Kesemua projek sedang dilaksanakan sekarang," katanya.
Selain itu beliau berkata, negeri ini amat memerlukan beberapa poliklinik di kawasan dengan jumlah penduduk yang banyak seperti Kulai dan Iskandar Puteri.
"Kedua-dua lokasi tersebut sedang membangun dan penambahan infrastruktur perubatan tidak boleh diabaikan.
"Tambahan pula, terdapat beberapa buah klinik kesihatan yang usang harus diperbaiki contonya, Klinik Kesihatan Bukit Pasir, Klinik Kesihatan Ayer Hitam dan Klinik Kesihatan Mersing," katanya.
Tambah lagi, perbincangan yang berlangsung menunjukkan suasana politik baharu dan diharap kebajikan rakyat dan negara Malaysia diletakkan di tempat utama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!