Nova tekad bawa dua wakil ke Olimpik Paris

Nova
Nova
A
A
A

JURULATIH baharu skuad badminton beregu campuran negara, Nova Widianto meletakkan sasaran dengan membawa dua pasangan meraih tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Dalam merealisasikan misi itu, Nova sedia membentuk dua beregu campuran negara - Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing menjadi gandingan ampuh sebelum layak ke Paris.

“Ya, saya akui ia bukan tugas mudah apabila kedua-dua pasangan muda itu perlu bersaing dengan dua beregu profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai.

“Memang tidak mudah kerana pada peringkat ini pun sudah kalah dengan pasangan di luar (profesional) berdasarkan kedudukan ranking dunia tetapi saya akan cuba terbaik untuk membantu mereka.

“Saya anggap ini cabaran untuk saya,” katanya yang turut akan membimbing tiga lagi beregu muda campuran negara - Choong Hon Jian-Yap Ling, Loo Bing Kun-Yap Cheng Wen dan Yap Roy King-Valeree Siow.

Dalam pada itu, Nova yang juga bekas juara dunia dua kali percaya mampu membawa dimensi baharu kepada barisan pemain beregu campuran negara selepas kali terakhir dicipta Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

“Ya, kualiti dimiliki para pemain beregu campuran Malaysia pada masa ini hanya memerlukan sedikit lagi sentuhan bagi membawa mereka mencapai kejayaan di peringkat tertinggi

“Mungkin sekarang prestasi para pemain beregu campuran negara sedikit menurun, namun Malaysia pernah meraih pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 (menerusi Peng Soon-Liu Ying).

Artikel Berkaitan:

“Saya lihat apa yang menyukarkan Malaysia adalah mungkin disebabkan tiadanya sejarah kejayaan, kita perlu berusaha sedikit lagi untuk mencapai emas,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!