Isu Samsuri patut jadi iktibar
TINDAKAN Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Terengganu seharusnya sudah boleh menutup isu ketiadaan pemimpin berkenaan di negeri itu ketika banjir buruk melanda.
Apa yang penting pada masa ini adalah berganding bahu dalam membantu mangsa-mangsa banjir bukan sahaja di Terengganu tetapi juga di negeri lain.
Tidak ada gunanya apabila berterusan memainkan isu berkenaan tetapi kerja yang sepatutnya dilakukan ‘tidak jalan’.
Di samping itu, apa yang berlaku kepada Naib Presiden Pas itu juga seharusnya dijadikan iktibar kepada semua pemimpin di negara ini.
Rakyat perlu diutamakan terlebih dahulu sekiranya mereka berada dalam kesusahan mengambil contoh banjir yang menimpa.
Tanpa rakyat yang memilih, mereka juga tidak akan bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau ahli Parlimen.
Selain itu, isu yang dihadapi oleh Ahmad Samsuri ini juga bukan kali pertama berlaku melibatkan pemimpin politik di negara ini.
Pada Disember 2014, isu sama juga dihadapi oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dikritik orang ramai apabila di saat negara berhadapan dengan banjir, beliau bermain golf bersama Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama di Hawaii.
Najib pada waktu itu menjelaskan, aktiviti bermain golf bersama Obama tidak bermakna beliau sengaja mengabaikan bencana banjir di negara ini.
Sebaliknya, kata Najib, aktiviti itu telah dirancang lebih awal atas dasar menjalinkan hubungan diplomasi dengan pemimpin-pemimpin dunia bagi mendatangkan manfaat kepada Malaysia.
Tambahan pula, katanya, jemputan itu telah disampaikan sewaktu Obama melawat negara ini dan amat sukar untuk beliau menolaknya kerana ia telah dirangka lebih awal dalam jadual kedua-dua pihak.
Pokok pangkalnya, semua pemimpin politik baik kerajaan mahupun pembangkang seharusnya cakna dengan isu yang dihadapi orang ramai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!