Matuidi umum gantung but
PEMAIN tengah, Blaise Matuidi yang juga pemenang Piala Dunia bersama Perancis pada edisi 2018 mengumumkan untuk menggantung but.
Pemain berusia 35 tahun itu beraksi ketika Perancis meraih kemenangan pada perlawanan akhir Piala Dunia menewaskan Croatia di Rusia empat tahun lalu.
Bagaimanapun mengecewakan buat Matuidi apabila diketepikan daripada skuad Inter Miami untuk musim ini.
"Saya memutuskan untuk menamatkan kerjaya sebagai pemain bola sepak profesional," ujarnya menerusi You Tube.
Matuidi memenangi Ligue 1 bersama Paris Saint-Germain dan Serie A bersama Juventus selepas menghabiskan masa bersama Saint-Etienne dan Toulouse.
Dia membuat 84 penampilan antarabangsa, menjaringkan sembilan gol sebelum perlawanan terakhir bersama Les Bleus pada 2019.
"Saya berpeluang bermain untuk kelab terbesar Eropah memakai jersi Perancis, memberi kehangatan kepada keluarga, menghayati semangat dan mereka adalah imej yang akan kekal bersama saya," katanya.
Matuidi adalah pemain pertama dalam skuad Perancis 2018 yang bersara.
"Kepala dan hati beritahu saya untuk berhenti (bersara). Fikir (fokus) tentang mereka yang rapat dengan saya. Isteri, anak-anak dan kehidupan yang saya bina ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!