Bantuan banjir: NGO perlu daftar dengan PKOB

Muhamad Zaki (tengah) melihat bungkusan kit makanan yang disumbangkan oleh Pengurus Besar Econsave, Toh Sharin (kiri) dan Wakil Penyelaras Sektor Korporat ATP Food Malaysia, Azmi Mohamed (kanan) kepada PDRM Kontinjen Kelantan untuk diagihkan kepada mangsa banjir. - Foto Bernama
Muhamad Zaki (tengah) melihat bungkusan kit makanan yang disumbangkan oleh Pengurus Besar Econsave, Toh Sharin (kiri) dan Wakil Penyelaras Sektor Korporat ATP Food Malaysia, Azmi Mohamed (kanan) kepada PDRM Kontinjen Kelantan untuk diagihkan kepada mangsa banjir. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan menasihatkan semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar berdaftar terlebih dahulu dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) negeri sekiranya ingin menghulurkan apa jua jenis bantuan kepada mangsa banjir.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, tindakan itu adalah bagi memudahkan penyelarasan dilakukan selain mengelak sebarang pertindihan tugasan.

Beliau berkata, kehadiran NGO dari luar dengan kepakaran masing-masing amat diperlukan tetapi ia perlu diselaraskan agar kesemua tindakan yang dilakukan lebih sempurna.

"Dalam Mesyuarat PKOB yang dijalankan hari ini kami dapati banyak NGO termasuk dari Kuala Lumpur, Johor dan Perlis yang menyatakan kesudian hadir untuk membantu.

"Apa yang kami mahu agar mereka berdaftar terlebih dahulu bagi mengelak pertindihan. Kami bukan menolak bantuan dan amat mengalu-alukan kedatangan mereka cuma ia perlu diselaraskan supaya semua tindakan berjalan dengan lancar," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Sabtu.

Terdahulu, Muhamad Zaki menerima sumbangan pelbagai barangan keperluan asas seperti alat kebersihan diri, lampin pakai buang dan barangan makanan kering daripada Econsave dan ATC Food Sdn Bhd untuk diagihkan kepada mangsa banjir di negeri ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pasukan polis juga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya ada mangsa yang ingin membuat sebarang laporan.

"Kami tahu ada mangsa yang enggan meninggalkan rumah kediaman mereka kerana bimbang diceroboh pihak tidak bertanggungjawab.

Artikel Berkaitan:

"Di sini kami ingin nyatakan ada anggota polis membuat rondaan di kawasan dinaiki air dan mereka tidak perlu bimbang. Sekiranya mereka enggan berpindah dan paras air semakin meningkat mungkin akan membahayakan nyawa mereka sendiri," katanya.

Dalam perkembangan sama, polis juga menyediakan 60 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan 70 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi pascabanjir.

Katanya, kesemua anggota ini akan membantu kerja-kerja pembersihan terutamanya di rumah ibadat dan sekolah yang terjejas. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!