Banjir: Petronas sumbang diesel, petrol
KOTA BHARU - Petronas melalui Petronas Dagangan Bhd (PDB) menyalurkan sumbangan sebanyak 30,000 liter minyak diesel dan 10,000 liter petrol untuk kegunaan tugas-tugas menyelamat dan aktiviti pembersihan pascabanjir di Pantai Timur.
Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, M Ahmad Shazly Ramli berkata, sumbangan itu diagihkan menerusi perkhidmatan pengisian bahan api mudah alih melalui kenderaan minyak bergerak (ROVR).
Beliau berkata, Petronas turut menzahirkan terima kasih kepada pihak berkuasa dan berharap sumbangan bahan api berkenaan dapat membantu serta melancarkan usaha agensi berkaitan dalam usaha menyelamat mangsa banjir semenjak musibah itu melanda.
"Kami juga ingin berterima kasih atas komitmen yang diberikan oleh pihak berkuasa dalam usaha menyelamat mangsa-mangsa banjir. Sumbangan bahan api itu diharapkan mampu membantu melancarkan usaha yang dijalankan oleh agensi terbabit.
"Selain bahan api, Petronas turut menyalurkan sumbangan kelengkapan asas kepada 4,950 mangsa banjir di Pantai Timur termasuk dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi Program Sentuhan Kasih Disaster Relief (SKDR) 2022,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
M Ahmad Shazly berkata, sumbangan berkenaan adalah sebahagian daripada komitmen Petronas membantu mangsa banjir bernilai RM25 juta seperti yang diumumkan pada Disember 2021.
Katanya, bantuan itu merangkumi sumbangan terdahulu kepada agensi penyelamat banjir di 14 negeri di seluruh negara berupa 36 bot, 8,800 khemah, 5,500 unit jaket keselamatan dan 55,000 helai baju hujan.
"Selain itu, pada awal 2022 Yayasan Petronas turut membantu penduduk di kawasan berisiko tinggi di Pekan, Pahang dan Tumpat, Kelantan melakukan persiapan yang lebih sistematik menghadapi banjir melalui Program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM).
"Petronas sentiasa prihatin terhadap nasib yang menimpa mangsa banjir yang terjejas. Kami berharap sumbangan ini mampu memberi manfaat kepada seisi keluarga yang terjejas dengan musibah itu,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!