Menteri beri amaran kepada syarikat bungkus minyak masak subsidi
JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi amaran kepada syarikat pembungkusan semula minyak masak bersubsidi agar tidak terlibat dengan aktiviti penyeludupan dan salah guna barang kawalan bersubsidi di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kementeriannya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat pembungkusan yang diberi lesen, sekiranya mereka menyeleweng bekalan.
"Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat pembungkusan semula minyak masak yang didapati salah guna dan menyeludup barang kawalan bersubsidi ke sempadan.
"Tindakan tegas akan diambil bagi memastikan bekalan barangan kawalan terutama minyak masak bersubsidi di dalam negara sentiasa mencukupi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau lif di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling, Liew Chin Tong yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Salahuddin yang merupakan Ahli Parlimen Pulai berkata, peniaga kecil yang juga golongan B40 diberikan kelonggaran untuk menggunakan minyak masak peket bersubsidi yang dijual di pasaran.
"Kita juga dapati peniaga kecil yang terbabit industri kecil dan sederhana (IKS) turut membeli minyak masak peket bersubsidi untuk berniaga.
"Mereka yang juga golongan B40 ini, kita berikan kelonggaran untuk gunakan minyak masak peket bersubsidi.
"Malah, satu mekanisme sudah dicadangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar peniaga IKS ini dapat menggunakan minyak masak peket bersubsidi," katanya.
Beliau turut menggesa kepada anggota penguat kuasa kementeriannya agar mengambil langkah mesra rakyat dalam menegur peniaga-peniaga yang melakukan kesalahan kecil.
"Kita perlu faham, golongan peniaga kecil kini dalam tempoh pemulihan selepas pandemik. Anggota penguat kuasa boleh memberi nasihat dan teguran dahulu sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil.
"Namun begitu tiada kompromi bagi peniaga yang didapati melalukan aktiviti penyeludupan minyak masak bersubsidi ke negara jiran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!