JDT pinjamkan kanvas tutup padang stadium
JOHOR Darul Ta' zim (JDT) tampil menghulurkan bantuan dengan meminjamkan kanvas bagi menutup padang sebelum aksi kedua Kumpulan B Piala AFF 2022 antara Malaysia dan Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
Dengan keadaan cuaca tidak menentu sejak beberapa minggu lalu, bantuan yang dihulurkan JDT itu pastinya melegakan pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).
Malah, ucapan terima kasih turut dizahirkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terhadap pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sentiasa menyokong skuad Harimau Malaya.
"Junjung kasih kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim atas kesudian baginda meminjamkan kanvas bagi menutup permukaan padang menjelang perlawanan kedua Kumpulan B, Piala AFF, Malaysia lawan Laos di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 8.30 malam ini.
"Ia bagi memastikan keadaan padang terpelihara dan berada dalam kondisi baik untuk digunakan sepanjang 90 minit permainan memandangkan keadaan cuaca yang mana hujan hampir setiap hari di Lembah Klang terutama pada waktu petang dan malam.
"Diharap langkah proaktif yang diambil ini dapat memastikan padang berada pada keadaan yang memuaskan, sekali gus menghidangkan perlawanan menarik buat para penyokong Harimau Malaya yang bakal ke stadium, malam ini," kata kenyataan itu.
Padang Stadium Nasional Bukit Jalil sering mendapat kritikan ramai pihak khususnya penyokong bola sepak tempatan susulan isu permukaan padang becak khususnya selepas hujan turun dengan lebat.
Untuk rekod, ketika aksi Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun lalu, imej Malaysia tercemar selepas padang Stadium Nasional Bukit Jalil seolah-olah bertukar menjadi 'sawah' ekoran air bertakung di padang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!