[VIDEO] Pengunjung teruja Pesta Air Pasang Besar Tanjung Piai 2022
PONTIAN – Rata-rata pengunjung Taman Negara Tanjung Piai di sini teruja dengan sambutan Pesta Air Pasang Besar Tanjung Piai 2022 setelah kali terakhir ia dianjurkan pada 2014 lalu.
Tinjauan Sinar Harian ke kawasan berkenaan mula dikunjungi orang ramai seawal jam 8.30 pagi biarpun dimaklumkan air pasang besar hanya akan berlaku sekitar 10 pagi.
Seorang pengunjung, Nizam Mohd Erham,47, berkata, dia dan keluarga telah mengunjungi taman negara berkenaan untuk dua kali berturut-turut sejak Jumaat bagi merasai pengalaman ‘bermain air’ ketika air pasang besar itu berlaku.
Katanya, biarpun ia bukannya kali pertama ke sini tetapi kunjungannya kali ini agak istimewa kerana turut melibatkan beberapa aktiviti lain sempena program anjuran pihak Tourism Malaysia, Wilayah Selatan.
“Saya memang teruja dengan program ini (Air Pasang Besar), lagi pun, ia diadakan di penghujung benua Asia.
“Sebenarnya saya dah dua hari ke sini bersama keluarga...walaupun bukan kali pertama bagi saya, ia nyata satu pengalaman yang cukup bermakna kerana sebelum ini semasa PKP (perintah kawalan pergerakan), kita tak boleh ke mana-mana.
“Lagi pun datang ke sini (Taman Negara Tanjung Piai), tak perlukan banyak duit... tapi menjanjikan kegembiraan...tapi pada masa sama keselamatan perlu dijaga,” katanya.,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Untuk rekod, Pesta Air Pasang Besar 2022 itu turut diserikan lagi dengan penganjuran program Cuti-Cuti Malaysia Fun Ride Penghujung Benua Asia anjuran Tourism Malaysia Wilayah Selatan.
Pesta Air Pasang Besar menjadi acara yang ditunggu-tunggu oleh masyarakat sekitar untuk menyaksikan fenomena limpahan air laut hingga kedaratan terutamanya di kawasan pesisiran pantai Kukup.
Fenomena ini sekali gus menjadi antara ‘tarikan’ ke kawasan Taman Negara Tanjung Piai terutamanya bagi pelancong yang mahu menyaksikan dan merasai sendiri limpahan ‘air pasang besar’ berkenaan yang dilaporkan mencecah hingga paras 3.6 meter pada Sabtu.
Bagaimanapun, limpahan air pasang besar ini dilaporkan hanya mencecah paras 3.5 meter pada Jumaat dan dijangkakan ia akan mencecah paras sama pada Ahad.
Seorang lagi pengunjung, Siti Mazura Shaari, 38, menyifatkan fenomena air pasang besar berkenaan sebagai satu perkara yang unik dan jarang ditemui di mana-mana tempat.
Katanya, keunikan berkenaan ditambah lagi dengan suasana persekitaran yang dikelilingi hutan paya bakau untuk dinikmati oleh pengunjung yang gemarkan alam semula jadi.
“Saya berasal dari Besut, Terengganu, walaupun sudah dua tahun menetap di sini (Pontian), inilah kali pertama saya datang ke Taman Negara Tanjung Piai ini.
“Lagi pun hari ini, dengar khabar ada air pasang besar di sini, jadi saya bawa sekali anak-anak untuk sama-sama merasai pengalaman yang unik ini,” jelasnya.
Sementara itu, bagi Phang Joo Wee, 42, dia mengunjungi Taman Negara Tanjung Piai bersama keluarga bagi menghabiskan masa sempena cuti hujung minggu.
Namun katanya, apabila dimaklumkan mengenai air pasang besar akan berlaku hari ini (Sabtu), dia mengambil keputusan untuk berada lebih lama di situ bagi menyaksikan fenomena unik berkenaan.
“Hari ini saya datang dengan family dari Kulai dan kita dapay tahu ada air pasang besar...jadi kita tunggu dan nak tengoklah.
“Sebelum itu, kita dah masuk ke hutan (paya bakau) dan kita dapati ada macam-macam aktiviti di sini, ada konsert dan sebagainya,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!