[VIDEO] Tragedi Batang Kali: Mangsa terakhir berjaya ditemui
BATANG KALI - [DIKEMAS KINI] Mangsa terakhir tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di sini berjaya ditemui pada Sabtu.
Mayat kanak-kanak malang berkenaan ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 4.50 petang.
Dapat dilihat kelegaan di wajah para petugas SAR termasuk anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) apabila berpelukan antara satu sama lain.
Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan, pencarian mangsa terakhir yang dipercayai seorang kanak-kanak lelaki itu diteruskan masuk hari kesembilan.
JBPM dilapor berkata, operasi SAR difokuskan di sekitar sektor A (hillview) iaitu lokasi dipercayai mangsa berada.
Sebelum itu, tragedi yang menyayat hati itu dilaporkan berlaku semasa kebanyakan mangsa sedang nyenyak tidur sekitar jam 2.30 pagi yang melibatkan seramai 92 individu di tapak perkhemahan berkenaan.
Seramai 31 mangsa disahkan meninggal dunia yang terdiri daripada 20 dewasa dan 11 kanak-kanak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!