Iran arah bicara semula dua pesalah hukuman mati
TEHERAN - Mahkamah Agung Iran telah mengarahkan perbicaraan semula dua lelaki termasuk seorang penyanyi rap Kurdish yang dihukum mati kerana menyertai protes dicetuskan oleh kematian Mahsa Amini.
Protes besar-besaran melanda Iran sejak 16 September lalu berhubung kematian Mahsa, 22, berasal dari Kurdish yang ditahan selepas didakwa melanggar kod etika berpakaian wanita di republik Islam itu.
Bulan ini, Iran menghukum mati dua orang berhubung protes tersebut manakala 11 lagi telah dihukum sebelum itu. Salah seorang daripada mereka iaitu Mahan Sadrat berjaya memenangi rayuan terhadap keputusan itu awal minggu ini.
Pada Sabtu, laman web Kehakiman Mizan Online berkata, penyanyi rap Kurdish, Saman Seydi atau dikenali Saman Yasin dan seorang penunjuk perasaan Mohammad Ghobadlou akan dibicarakan semula.
"Mahkamah Agung telah menerima rayuan dua defendan semasa rusuhan baru-baru ini selepas keputusan dikeluarkan oleh mahkamah revolusi," kata Mizan yang merujuk kepada Saman dan Mohammad.
Kumpulan hak asasi manusia luar Iran berkata, kedua-dua tertuduh berdepan hukuman mati berdasarkan tuduhan terlibat dalam protes itu.
Bagaimanapun, Mizan telah menjelaskan terperinci mengenainya, tetapi kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan membawa hukuman mati.
Mohammad didakwa di Teheran kerana menyerang polis dengan kereta sehingga menyebabkan kematian seorang pegawai polis dan mencederakan lima yang lain.
Manakala, Saman didakwa sebagai 'moharebeh' iaitu 'melancarkan perang terhadap tuhan'.
Iran telah menahan ribuan penunjuk perasaan berhubung protes tersebut di mana pihak berkuasa berkata lebih 200 orang telah terbunuh, termasuk puluhan anggota keselamatan. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!