PDRM perkenal infoline CCID

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) memperkenalkan infoline CCID bagi memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat dan aduan khusus melibatkan jenayah komersil.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Mazlan Mansor berkata, infoline CCID ini medium untuk menambah baik sistem penyampaian melalui perkhidmatan yang cepat dan tepat kepada masyarakat selain memudahkan orang ramai menyemak serta mendapatkan pengesahan berkenaan kes jenayah komersial.

"Infoline ini juga membolehkan orang ramai menyemak laporan polis yang dibuat serta mendapatkan perkembangan kes dan bagi memudahkan menyalurkan maklumat kes-kes jenayah komersial khususnya jenayah sindiket seperti penyamaran Macau Scam, jenayah e-dagang, tipu pinjaman tidak wujud dan pemalsuan dokumen," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, infoline ini beroperasi melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan WhatsApp di talian 013-211 1222 bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah malam, setiap hari.

"Tiada panggilan suara akan diterima atau keluar dari infoline ini dan maklum balas bagi setiap aduan atau maklumat dan pertanyaan akan diberikan dalam masa terdekat,"

Mazlan berkata, aduan orang ramai kepada infoline CCID mesti menggunakan nombor telefon yang berdaftar dengan syarikat telekomunikasi di Malaysia.

"Maklumat atau butiran pengaduan mestilah bukan bersifat jahat, tohmahan tidak berasas, menggunakan perkataan yang lucah dan menjelikkan atau bertujuan menjatuhkan kredibiliti individu atau organisasi.

"Dan sebarang gurauan (prank) tidak akan dilayan dan sekiranya didapati ada pihak dengan sengaja mengadakan keterangan palsu, tindakan boleh diambil di bawah peruntukan undang-undang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mazlan menambah, orang ramai juga dinasihati menyemak status penglibatan jenayah dengan melayari laman web semak mule di http://ccid.rmp.gov.my/semakmule sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!