261 pegawai, anggota bertugas bantu kelancaran trafik di Johor

Kamarul Zaman
Kamarul Zaman
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor akan memastikan kelancaran aliran trafik sempena cuti perayaan Krismas dan ambang tahun baharu menerusi Op Lancar yang dilaksanakan mulai 24 Disember 2022 hingga 2 Januari 2023.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, Ops Lancar akan dilaksanakan di semua jenis jalan di negeri ini melibatkan 261 pegawai dan anggota.

Menurutnya, tumpuan akan diberikan di 31 lokasi hotspot serta kawasan hitam yang dikenal pasti akan berlaku kesesakan lalu lintas.

"Op Lancar oleh Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) ini bertujuan memastikan kelancaran aliran trafik melalui bantuan penugasan point duty di persimpangan, rondaan dan statik termasuk respons time kepada kemalangan dan halangan yang boleh menjejaskan aliran trafik selain kesiapsiagaan bagi menghadapi cuaca yang tidak menentu khususnya banjir.

"Berdasarkan laporan lalu lintas semasa sehingga kini, kesemua jalan utama melibatkan jalan ekspres (lebuh raya), jalan persekutuan dan jalan negeri bergerak lancar dan terkawal seperti di susur keluar lebuh raya dan tol di semua daerah Kontinjen Johor.

"Kita akan terus fokus dengan penugasan Op Lancar ini dalam memastikan kelancaran trafik di semua lokasi yang dikenal pasti," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu

Sementara itu, Kamarul Zaman menasihatkan semua pengguna jalan raya khususnya yang memandu untuk pulang bercuti terus mematuhi peraturan lalu lintas dan berhemah ketika memandu.

"Jangan pentingkan diri sendiri, kawal emosi dan sentiasa bersabar dengan situasi semasa.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, jangan membuat provokasi yang membahayakan diri sendiri dan orang lain," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!