ADUN Kota terlibat nahas tiga kenderaan
REMBAU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, Datuk Seri Dr Awaludin Said terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 27, Jalan Seremban–Tampin di sini pada Sabtu.
Bagaimanapun dalam kejadian jam 2.45 petang itu, Awaludin yang memandu kereta jenis Honda Accord dan isterinya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kereta bekas Speaker Dewan Undangan Negeri(DUN) Negeri Sembilan itu juga dilihat hanya berlaku kerosakan pada bahagian belakang akibat dirempuh.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila lori muatan batang besi mengekori terlalu rapat sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda BRV.
"Dalam keadaan trafik sesak, lori itu melanggar belakang Honda BRV yang berhenti di hadapannya dan pada masa sama kereta itu melanggar pula belakang kereta ADUN Kota.
“Penumpang belakang Honda BRV hanya cedera ringan dan dirawat di Hospital Rembau,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!