Majikan perlu terlibat agenda reformasi bela nasib pekerja

Callistus Antony D Angelus
Callistus Antony D Angelus
A
A
A

SHAH ALAM - Majikan di negara ini perlu terlibat dalam agenda reformasi untuk membela nasib pekerja mereka.

Penasihat Buruh Antarabangsa Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM), Callistus Antony D Angelus berkata apa yang berlaku kini disebaliknya apabila ada majikan membantah pelaksanaan pindaan Akta Kerja 1955.

Beliau mendakwa perkara ini bukanlah sesuatu yang di luar jangkaan kerana segelintir majikan telah dibenarkan untuk bertindak kasar terhadap pekerja-pekerja Malaysia sejak sekian lama

“SPCAAM turut meramalkan Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) juga akan menyatakan bahawa pindaan itu tidak sesuai dilaksanakan sekarang.

“Jelas bahawa pihak-pihak seperti MEF mahu pekerja berada dalam keadaan dieksploitasi dan dinafikan hak asasi manusia hanya supaya majikan dapat memaksimumkan keuntungan mereka dan terus mengeksploitasi sumber negara.

“Selaras dengan agenda reformasi kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, rakyat meletakkan harapan agar kita akan melihat pengakhiran eksploitasi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau turut mempersoalkan kenyataan MEF menyatakan bahawa majikan sepatutnya boleh menghendaki sesetengah pekerja bekerja tanpa hari rehat, pada hari kelepasan am dan untuk waktu tanpa had dalam sehari?

“Begitu juga dengan Persatuan Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS), ia bukan tentang mematuhi piawaian negara maju tetapi memastikan pekerja-pekerja di Malaysia diberikan martabat asas.

Artikel Berkaitan:

Tidak kira sama ada seseorang itu majikan atau pekerja, kita pasti bersetuju bahawa semua pekerja di Malaysia mesti mempunyai hak asasi yang termaktub dalam undang-undang,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kenyataan Persatuan Kebangsaan Sumber Manusia Malaysia (Pusma) bahawa menambah kelayakan cuti bersalin akan mengakibatkan tenaga kerja wanita berkurangan, D Angelus berkata, ini adalah jenis hujah yang jika benar akan membawa Malaysia kembali ke zaman kegelapan.

“Ia adalah kes diskriminasi yang mesti diambil tindakan oleh undang-undang. Untuk mengelakkan wanita daripada didiskriminasi secara institusi.

Akta Kerja memerlukan pindaan susulan untuk memaksa semua majikan yang menggaji lebih daripada 1,000 pekerja menyerahkan data kepelbagaian jantina setiap tahun,” jelasnya.

Tambahnya, jika terbukti bahawa mana-mana majikan mempunyai bilangan pekerja yang tidak seimbang, Kementerian Sumber Manusia harus menyiasat sama ada amalan diskriminasi wujud.

“Pusma harus memikirkan pendirian mereka dengan teliti sebelum membuat kenyataan yang memburukkan wanita,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!