Tanah runtuh: Sumbangan RM80,000 kepada dua keluarga

Shamsul Iskandar (tiga dari kanan) ketika menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa tanah runtuh di Kampung Machap Baru di sini pada Ahad. - Foto Bernama
Shamsul Iskandar (tiga dari kanan) ketika menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa tanah runtuh di Kampung Machap Baru di sini pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR GAJAH - Kerajaan menyerahkan sumbangan berjumlah RM80,000 kepada dua keluarga mangsa tanah runtuh di Batang Kali, Selangor pada Ahad.

Sumbangan disampaikan Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin kepada Lai Hua Kiong, 54, dan Tai Seng Fui, 63, di Kampung Machap Baru di sini pada Ahad.

Hua Kiong kehilangan empat ahli keluarganya iaitu Lai Chee Sam, 33, Lai See Tin, 33, Giselle Lai Yu Xi, 6, dan Jonas Lai Ze Kai, 2, manakala Seng Fui juga kehilangan empat ahli keluarga iaitu Tai Chang Lin, 35, Yu Siew Pay, 34, Tai Jing Key, 7, (he) dan Tai Jing Rou, 4.

Shamsul Iskandar berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan berharap sumbangan itu dapat meringankan beban ditanggung keluarga berkenaan.

"Yang kedua, Perdana Menteri turut menyampaikan rasa terima kasih yang mendalam kepada seluruh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang bertungkus lumus sehingga semalam dan ini tentunya menuntut kepada satu komitmen yang tinggi.

"Tentunya Perdana Menteri dan kerajaan memandang tinggi usaha-usaha mereka dan kita harap ia dapat jadi contoh kepada agensi-agensi lain agar dapat bekerja dalam satu pasukan dan bersungguh-sungguh untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Hadir sama Exco Perrpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem, Timbalan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Khairul Shahril Idrus dan Ketua Cabang PKR Alor Gajah, Datuk Ginie Lim Siew Lin.

Sementara itu Khairul Shahril berkata, sumbangan akan diberikan bergantung kepada kesediaan waris untuk menerimanya memandangkan ada ahli keluarga yang masih bersedih dengan kejadian itu.

Artikel Berkaitan:

Katanya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga akan membuat bayaran kepada waris mangsa dengan mengambil kira tentang keperluan pihak terbabit.

Tragedi pada awal pagi 16 Disember lepas itu, membabitkan 92 mangsa dengan 61 daripadanya terselamat, manakala 31 individu yang terdiri daripada 18 dewasa dan 13 kanak-kanak, terkorban selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!