[VIDEO] 'Empat hari lagi baru banjir surut'
TUMPAT - Penduduk Kampung Jejulok di sini mendakwa pembinaan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) mengakibatkan banjir sukar surut.
Mereka turut mendakwa air mungkin surut sepenuhnya dalam tempoh antara tiga atau empat hari lagi.
Penoreh getah, Mahusin Daud, 69, berkata, banjir termenung itu sudah biasa dilalui penduduk tetapi projek berkenaan menjadi faktor air lambat surut.
Menurutnya, banjir kali kedua membimbangkan mereka kerana ada penduduk yang perlu bersedia untuk berpindah.
"Banjir kali ini lebih lama dan mungkin mengambil masa lebih tiga hari untuk surut sepenuhnya," katanya ketika ditemui pada Ahad.
Mahusin yang sudah 40 tahun tinggal di kawasan itu mengakui sudah biasa dengan keadaan itu walaupun pernah berdepan binatang berbisa.
"Hujan sejak seminggu lalu menyebabkan rumah saya dinaiki air sehingga 0.2 meter di bahagian dapur dan mengambil masa lama untuk surut," katanya.
Seorang lagi penduduk, Nasir Othman, 64, berpendapat, banjir termenung itu mungkin surut dalam tempoh seminggu lagi.
Nasir yang lebih 20 tahun menetap di kampung itu memberitahu, hujan lebat minggu lalu menyebabkan kawasan rumahnya dinaiki air setinggi satu meter.
"Jika sebelum pembinaan benteng air surut lebih awal kerana aliran air terus ke sungai," katanya.
Bagaimanapun, Nasir bersama empat ahli keluarganya yang lain tidak mengalami masalah untuk keluar mendapatkan bekalan makanan kerana sudah biasa dengan situasi itu.
Jumaat lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, Wan Roslan Wan Hamat memaklumkan, limpahan banjir dari Sungai Golok dan ban PLSB Sungai Golok di Kuala Teluk Kampung Lanchang Rantau Panjang pecah mengakibatkan lebih 50 peratus kawasan di daerah ini ditenggelami air.
Beliau turut mengakui, banjir kali ini lebih teruk dan ramai penduduk terjejas termasuk Kampung Kubang Sawa, Kampung Teluk Jering selain kawasan sekitar Pantai Geting.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!