Cuaca sejuk, berangin cabaran buat Harimau Malaya di Hanoi

Malaysia bakal bertemu Vietnam pada aksi ketiga Kumpulan B saingan AFF 2022 di Hanoi pada Selasa.
Malaysia bakal bertemu Vietnam pada aksi ketiga Kumpulan B saingan AFF 2022 di Hanoi pada Selasa.
A
A
A

CUACA sejuk dan berangin yang boleh mencecah sehingga 16 darjah Celsius pada sebelah malam antara halangan perlu ditempuh pasukan negara yang bakal bertemu Vietnam pada aksi ketiga Kumpulan B saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di sini, pada Selasa.

Jika barisan pemain negara mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri berlatih dan bermain dalam suhu yang rendah, ia mungkin mampu mengancam kualiti persembahan skuad bimbingan Kim Pan Gon pada pertembungan di Stadium Nasional My Dinh itu nanti.

Ia kerana rata-rata pemain negara tidak biasa beraksi dalam suhu seperti itu apabila sering berlatih dan bermain dalam suhu sederhana antara 25 dan 26 darjah Celsius dalam kancah saingan Liga Malaysia.

Justeru skuad Harimau Malaya bukan sahaja perlu cepat menyesuaikan diri bermain dalam cuaca sejuk tetapi juga dalam cuaca panas di gelanggang lawan yang agak ekstrem berbanding di Malaysia.

Perubahan suhu mungkin akan mempengaruhi prestasi anak buah Pan Gon dan ia dapat dilihat apabila Malaysia yang beraksi dalam cuaca panas terik, bergelut sebelum menang 1-0 berdepan Myanmar yang lebih mendominasi perlawanan pada aksi pembukaan di Yangon, Rabu lepas.

Pasukan negara pernah menentang Vietnam dalam keadaan cuaca sebegini pada bulan yang sama di sini, ketika perlawanan akhir kedua Piala AFF 2018 yang menyaksikan skuad ‘Golden Star Warriors’ menang 1-0 sekali gus muncul juara dengan keputusan agregat 3-2.

Malaysia membuka kempen Piala AFF 2022 dengan melakar dua kemenangan masing-masing 1-0 ke atas Myanmar dan membenam Laos 5-0 di Stadium Nasional di Bukit Jalil, pada Sabtu.

Selepas dua perlawanan, Malaysia mendahului saingan Kumpulan B dengan mengumpul enam mata, Vietnam dan Singapura yang baru beraksi sekali masing-masing berkongsi tiga mata di posisi kedua dan ketiga, manakala Myanmar dan Laos di kedudukan dua tercorot tanpa mata. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!