Banjir: Penduduk masih ulang-alik naik bot
TUMPAT - Penduduk di lebih lima kampung di daerah ini masih memerlukan bot untuk berulang-alik ke Kota Bharu dan bandar Tumpat selepas lebih seminggu kawasan itu dinaiki air kira-kira dua meter.
Antara kampung terlibat ialah Kampung Kajang Sebidang, Kampung Kuala Jambu, Kampung Naga Ibu, Kampung Kubang Sawa dan Kampung Bendang Pak Yong.
Situasi yang dihadapi setiap tahun itu menyebabkan ramai penduduk memiliki bot sendiri bagi memudahkan pergerakan.
Tinjauan Sinar Harian di Kampung Jejulok pada Ahad mendapati mereka memberhentikan bot di kampung itu sebelum menaiki kenderaan untuk ke bandar Tumpat dan lokasi lain di Kota Bharu.
Penduduk Kampung Kubang Sawa, Abdullah Osman, 70, berkata, bot memudahkan mereka bergerak jika berdepan banjir terutama selepas Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB).
Menurutnya, ramai penduduk memiliki bot sendiri untuk memudahkan mereka bergerak terutama membeli barangan keperluan.
"Saya pula hanya keluar untuk menghantar anak dan cucu di sini (Kampung Jejulok) kerana mereka ada urusan di sekitar Tumpat," katanya.
Abdullah yang memiliki bot sejak 10 tahun terpaksa membeli bot baharu selepas dicuri ketika banjir beberapa tahun lalu.
Sementara itu, kakitangan kerajaan, Wan Mohamad Nasir Wan Omar, 32, berkata, penduduk di kampung terlibat sudah biasa dengan situasi banjir itu dan sentiasa bersedia setiap tahun.
Bagaimanapun katanya, mereka perlu berwaspada dengan menggunakan peralatan keselamatan.
Wan Mohamad Nasir yang membesar di Kampung Kubang Sawa mengambil inisiatif sendiri membeli bot jika berlaku kelewatan operasi menyelamat.
"Kami perlu berhati-hati dengan menyediakan jaket keselamatan kerana dalam situasi banjir tiada agensi khas memantau pemilik bot bergerak," katanya.
Penduduk Kampung Bendang Lama, Mohd Faris Che Abd Rahman, 22, pula mula menggunakan bot sejak seminggu lalu selepas kediamannya dinaiki air.
Katanya, bot menjadi pengangkutan utama untuk berulang-alik membeli barang keperluan harian selain menghantar ahli keluarga keluar bekerja di Kota Bharu.
"Perjalanan dari rumah ke Kampung Jejulok mengambil masa 15 minit sebelum kami menaiki kereta yang diparkir di kawasan lebih tinggi di sini," katanya.
Mohd Faris memberitahu, paras air menurun tetapi tidak banyak berubah dan menjangkakan mungkin surut sepenuhnya dalam tempoh kira-kira lima hari jika tiada hujan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!