Banjir di Terengganu semakin pulih
KUALA TERENGGANU - Keadaan banjir di Terengganu pada Isnin semakin pulih dengan jumlah penduduk yang dipindahkan terus menunjukkan penurunan kepada 1,438 orang berbanding 1,836 pada jam 6 petang Ahad.
Sehingga jam 8 pagi, seram 385 keluarga masih ditempatkan di 12 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Besut, Marang dan Kuala Nerus.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, Kuala Nerus merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 1,090 orang dari 312 keluarga di empat PPS.
Menurutnya, sebanyak lima PPS masih dibuka di Besut bagi menempatkan 51 keluarga melibatkan 183 mangsa yang terjejas banjir di daerah berkenaan sejak seminggu lalu.
"Di Kuala Terengganu, seramai 89 penduduk dari 21 keluarga masih berlindung di dua PPS manakala Marang pula mencatatkan 76 mangsa.
"Semua mereka kini ditempatkan di sebuah PPS," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, keadaan banjir di Setiu dan Hulu Terengganu pula pulih sepenuhnya pada Ahad apabila semua PPS ditutup selepas penduduk yang dipindahkan ke sana pulang ke rumah masing-masing.
"Keadaan cuaca sekarang cerah dan maklumat berkaitan banjir akan dikemaskini dari semasa ke semasa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!