Zidane calon ganti Tite latih Brazil
SPEKULASI pengganti Tite yang meletakkan jawatan selepas Brazil tersingkir daripada saingan suku akhir Piala Dunia 2022 di Qatar masih menjadi bualan dalam kalangan media dan peminat.
Bekas jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane antara calon yang disebut-sebut mengisi jawatan panas itu, lapor media Perancis.
Zidane ketika ini tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas meninggalkan Madrid pada 2021.
Dia juga dikaitkan dengan beberapa pasukan, termasuk skuad Perancis serta Manchester United sebelum pelantikan Erik ten Hag.
Bekas pemain tengah Real dan Perancis berusia 50 tahun itu dianggap sebagai pengganti terbaik Tite, lapor akhbar L'Equipe.
Akhbar itu menyebut Konfederasi Bolasepak Brazil berharap dapat melantik pengendali dari luar negara itu selepas Tite meletak jawatan susulan perjalanan pasukannya tersekat di suku akhir Piala Dunia lalu.
Selain Zidane, nama lain yang dikaitkan dengan kerusi panas itu ialah Mauricio Pochettino, Thomas Tuchel atau Rafael Benitez.
Zidane turut dikaitkan sebagai pengganti Didier Deschamps tetapi pengendali Perancis itu dijangka kekal dengan jawatannya.
Presiden Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF), Noel Le Graet memberi petunjuk akan berbincang dengan Deschamps dalam masa terdekat bagi melanjutkan kontraknya.
Deschamps, yang memenangi Piala Dunia untuk Perancis sebagai pemain pada tahun 1998 dan pengendali pada tahun 2018, membimbing Les Bleus sejak tahun 2012.
Graet difahamkan mahu pengendali 54 tahun itu terus kekal membawa Perancis sehingga Piala Dunia 2030.
Sekiranya ia menjadi kenyataan, Zidane mungkin terpaksa kembali membimbing kelab.
Zidane cemerlang dengan tiga Liga Juara-Juara Eropah berturut-turut sebagai pengendali Real Madrid dari musim 2015-16 sehingga 2017-18.
Dia turut mengungguli La Liga pada musim 2016-17 serta 2019-20.
Bekas pemenang Piala Dunia itu lebih cenderung menyertai liga yang dikenalinya seperti Serie A atau La Liga, berbanding cabaran baharu di Liga Perdana Inggeris.
Antara kelab yang menjadi sasarannya ialah Juventus, namun kelab Itali itu belum mempunyai kekosongan untuknya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!