Warga emas melecur rumah jagaan OKU terbakar

Anggota bomba memadamkan kebakaran di Rumah Persatuan Orang Cacat Johor Bahru di Kampung Ungku Mohsin, Johor Bahru, pada Isnin. - Foto: Bomba
Anggota bomba memadamkan kebakaran di Rumah Persatuan Orang Cacat Johor Bahru di Kampung Ungku Mohsin, Johor Bahru, pada Isnin. - Foto: Bomba
A
A
A


JOHOR BAHRU - Seorang warga emas melecur manakala empat lelaki orang kurang upaya (OKU) yang menghuni di Rumah Persatuan Orang Cacat Johor Bahru di Kampung Ungku Mohsin di sini terselamat dalam kejadian kebakaran pada Isnin.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamad Faiz Suleiman berkata, pihaknya menerima laporan kejadian berkenaan pada jam 7.53 pagi.

"Susulan itu seramai 17 anggota dari BBP Larkin dan enam anggota dari BBP Tebrau dibantu tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT), tiga Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), tiga unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dan sebuah utiliti dikejarkan ke tempat kejadian.

"Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal berkeluasan 3.7 kali 7.4 meter telah terbakar 65 peratus. Seorang mangsa iaitu seorang lelaki warga emas berusia 64 tahun cedera dan melecur 30 peratus di bahagian anggota badan.



"Mangsa berkenaan melecur semasa cuba masuk ke rumah untuk mengambil dokumen dan wang tetapi tidak berjaya sebelum pihak bomba menghalangnya.

"Mangsa berkenaan yang merupakan penjaga rumah persatuan tersebut dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini dengan menggunakan EMRS untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau berkata, empat mangsa lain yang juga warga emas dan cacat penglihatan diselamatkan serta dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi.

Jelasnya, semua lelaki OKU warga emas terbabit iaitu dua daripadanya buta dan dua lagi kabur penglihatan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sebahagian kerusi roda penghuni yang musnah dalam kejadian kebakaran di Rumah Persatuan Orang Cacat Johor Bahru pada Isnin.
Sebahagian kerusi roda penghuni yang musnah dalam kejadian kebakaran di Rumah Persatuan Orang Cacat Johor Bahru pada Isnin.

Artikel Berkaitan:


Mohamad Faiz menambah, kebakaran dipercayai berpunca dari bahagian dapur tetapi masih dalam siasatan termasuk jumlah kerugian manakala operasi tamat sepenuhnya pada jam 10.04 pagi.

Anggota bomba memadamkan kebakaran di Rumah Persatuan Orang Cacat Johor Bahru di Kampung Ungku Mohsin, Johor Bahru, pada Isnin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!