'Kami mahu menang'

Pan-gon tidak mahu skuad Harimau Malaya berasa gentar untuk berdepan Vietnam pada aksi Kumpulan B Piala AFF di Hanoi pada Selasa. - Foto FB FAM
Pan-gon tidak mahu skuad Harimau Malaya berasa gentar untuk berdepan Vietnam pada aksi Kumpulan B Piala AFF di Hanoi pada Selasa. - Foto FB FAM
A
A
A

SKUAD Harimau Malaya memasang impian besar untuk mengalahkan Vietnam pada aksi ketiga saingan Kumpulan B Piala AFF di Stadium My Dinh, Hanoi pada Selasa.

Sasaran itu bagi mengesahkan tempat buat skuad Kim Pan-gon ke peringkat separuh akhir lebih awal.

Pan-gon bagaimanapun tetap menghormati Vietnam yang dikenali sebagai pasukan terkuat Asia Tenggara ketika ini.

Pengendali dari Korea Selatan itu juga sudah mempunyai strategi permainan untuk berdepan Vietnam dan semua maklumat itu telah disampaikan kepada setiap pemain.

“Seperti kita tahu Vietnam adalah salah satu pasukan terkuat di ASEAN dan kami tahu kekuatan dan kelemahan mereka.

“Bagaimanapun saya tidak akan dedahkan kepada media dan hanya sampaikan segala maklumat kepada para pemain.

“Semestinya kami mahu sahkan tempat layak ke separuh akhir esok (Selasa) dengan menewaskan pasukan terbaik ASEAN,” katanya pada sidang akhbar di Hanoi pada Isnin.

Pan-gon juga meluahkan tidak berasa gentar untuk berdepan Vietnam dan mahu para pemain memberikan aksi terbaik sebagai tanda penghormatan kepada rakan senegaranya yang juga pengendali Vietnam, Park Hang Seo.

Artikel Berkaitan:

“Pasukan melalui proses pemulihan dengan baik dan kita tahu cuaca berbeza berbanding Malaysia, tetapi ia tidak akan mengganggu persembahan pasukan.

“Malah saya yakin kami dapat atasi masalah cuaca serta kepenatan dan bersedia untuk perlawanan esok.

“Hang Seo adalah jurulatih yang disegani di Korea Selatan dan saya berbesar hati dapat menghadapinya di kejohanan ini.

“Saya akan cuba yang terbaik untuk menghadapinya sebagai tanda hormat kepadanya,” katanya.

Pan-gon juga akui perlawanan itu sebagai sukar tetapi percaya para pemain berupaya menghadapi tekanan kerana pernah berdepan dengan situasi sama dalam kejohanan sebelum ini.

“Ia mungkin menjadi salah satu perlawanan yang sukar buat kami berdasarkan persembahan semasa Vietnam.

“Mereka mempunyai pengalaman menghadapi perlawanan besar tetapi kami juga biasa menghadapi situasi sama dan tidak gentar dengan mana-mana pasukan yang kita hadapi dan akan berikan cabaran buat Vietnam,” ujar Pan-gon.

Malaysia mempunyai rekod kurang baik apabila berdepan Vietnam kerana hanya menang dan seri sekali, manakala tewas lapan kali dalam 10 pertemuan terakhir.

Kali terakhir Malaysia menang ke atas Vietnam adalah pada 2014.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!