Tekad Faisal bolosi gawang Vietnam
PEMAIN sensasi, Faisal Halim tekad untuk terus meledak bagi membantu skuad Harimau Malaya melakar keputusan positif pada aksi ketiga Kumpulan B Piala AFF menentang Vietnam di laman lawan Hanoi pada Selasa.
Enggan berasa gentar, biarpun ia adalah aksi pertama Faisal bersama skuad negara menentang pasukan gergasi Asia Tenggara itu.
“Esok (Selasa) adalah satu perlawanan yang sukar bertemu Vietnam dan saya pertama kali bertemu mereka.
“Sudah pastinya saya perlu terus berusaha menjaringkan gol untuk membantu pasukan meraih keputusan positif,” katanya pada sidang akhbar di Hanoi pada Isnin.
Pemain baharu Selangor FC itu juga percaya mampu untuk terus mengemudi barisan depan skuad negara untuk mengancam kubu Vietnam, biarpun pasukan lawan berkelebihan beraksi di laman sendiri.
Faisal turut bertekad untuk memberikan segala yang termampu bagi merealisasikan hasrat penyokong untuk melihat pasukan kali ini mara lebih jauh berbanding edisi lalu.
“Saya datang ke sini untuk membela maruah. Maruah diri dan keluarga. Saya ingin banggakan keluarga dan peminat Malaysia,” kata pemain berusia 24 tahun itu.
Di sebalik cabaran sengit di Hanoi dan Piala AFF, Faisal menagih sokongan berterusan peminat kepada barisan pemain yang diberikan tanggungjawab pada kejohanan kali ini.
Jurulatih negara, Kim Pan-gon terpaksa menagih kudrat muka baharu setelah 14 pemain utama menolak tawaran skuad negara menyertai kejohanan kali ini.
“Sudah pasti pertama kali peminat melihat senarai nama, mereka tidak yakin dengan pemain yang dipanggil.
“Namun sebagai seorang pemain, saya yakin dengan rakan sepasukan kerana mereka mampu melakukan tugas yang baik, namun tidak diberikan peluang beraksi untuk skuad negara sebelum ini,” katanya.
Bekas pemain Terengganu FC dan Sri Pahang itu mendahului senarai penjaring terbanyak kejohanan selepas meledak tiga gol daripada dua perlawanan awal sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!