Terlupa tutup dapur gas punca kebakaran rumah Persatuan OKU JB
Pengelola Persatuan Orang Cacat Johor Bahru, Norrafita Jamalludin berkata, kejadian pada jam 7 pagi itu berlaku semasa penjaga rumah berkenaan, 64, menyediakan sarapan pagi untuk empat penghuninya.
"Mujur ketika kejadian empat penghuni rumah berkenaan yang cacat penglihatan berjaya menyelamatkan diri manakala enam lagi penghuni rumah berkenaan berurusan di luar ketika itu.
"Akibat kejadian ini, 10 penghuni rumah berkenaan tinggal sehelai sepinggang dan mereka kini buntu kerana kehilangan tempat tinggal selain pakaian, bekalan makanan serta dokumen peribadi yang gagal diselamatkan.
"Selain tempat tinggal mereka yang berusia lebih 10 tahun itu musnah, pejabat urusan persatuan juga turut musnah," katanya ketika ditemui pada Isnin.
Dalam kejadian itu, penjaga rumah berkenaan melecur 30 peratus di bahagian badan semasa cuba mengambil dokumen serta wang tunai dalam kebakaran namun gagal dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.
Norrafita berkata, semua penghuni rumah terbabit tidak bekerja dan hanya bergantung sepenuhnya dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan selian turut digunakan bagi membiayai kos pembelian ubat.
Sebelum ini pihaknya menaik taraf rumah berkenaan dengan menggantikan siling, dinding dan bumbung untuk keselesaan mereka.
"Buat masa ini, atas kerelaan sendiri, kami sebagai pengurusan persatuan masing-masing memberi perlindungan sementara dengan membawa pulang mereka ke rumah bagi mengelakkan mereka tinggal bergelandangan.
"Kami hanya mampu memberi perlindungan sementara dan harap rumah persatuan berkenaan dapat dibaik pulih dalam tempoh terdekat," ujarnya.
Menurutnya, dianggarkan kos membaik pulih kerosakan tersebut mencecah RM200,000 dan berharap dapat mengumpul dana mencukupi secepat mungkin.
Kata Norrafita, pihaknya mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan termasuk pakaian dewasa bagi penghuni berkenaan.
Tambahnya, orang ramai boleh menghubungi talian 011-1773 1749 bagi menyalurkan sumbangan atau menerusi akaun persatuan di CIMB 8009753735.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!