Bomba setuju tangguh operasi cari Acap, serah pada penduduk kampung: Zuraida
GOPENG - Keputusan menghentikan sementara operasi pencarian peserta Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019, Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang hilang sejak 23 Mac lalu, dijangka akan diketahui esok.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin berkata, pihaknya menerusi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak akan mengadakan perbincangan bersama PDRM bagi menetapkan tarikh dan tempoh masa yang diperlukan bagi membolehkan penduduk kampung menjalankan usaha menjejaki mangsa.
"Ia adalah permintaan penduduk di sini berdasarkan pengalaman mereka, ada kes orang hilang yang berjaya dikesan dan minta kita keluar dari kawasan ini dengan beri masa antara dua atau tiga hari.
"Kita harus berbincang dan lihat bagaimana perkembangannya. Mungkin dengan izin ALLAH SWT, kita dipertemukan dengan Acap. Pada prinsipnya kita bersetuju akan perbincangan akan diadakan hari ini dengan keputusan diketahui esok" katanya ketika lawatannya ke Pos Kawalan Bomba di Kampung Pintu Padang di sini, hari ini.
Zuraida sempat bertemu dengan ibu Acap, Siti Maznah Khamis, 58, dan ahli keluarganya yang hadir.
Menurutnya, meskipun pencarian itu akan ditangguhkan, bomba dan polis sentiasa bersiap sedia memberi sokongan dalam menghadapi sebarang perkara kecemasan.
"Sesuatu operasi mencari dan menyelamat (SAR) bergantung kepada pihak polis dan mereka yang bertanggungjawab menghentikan SAR ini.
"Kita juga akan berbincang dengan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagaimana untuk mereka jalankan pencarian dan pihak penyelamat bersedia sekiranya ada kecemasan," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN Keluarga minta orang ramai berhenti cari Ashraf
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!