Besut daerah terakhir masih terjejas banjir
KUALA TERENGGANU – Besut menjadi daerah terakhir terjejas banjir di Terengganu dengan dua pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka bagi menempatkan 41 keluarga melibatkan 138 orang setakat jam 4 petang Isnin.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, Masjid Kampung La merekodkan seramai 126 mangsa dari 38 keluarga manakala 12 penduduk lagi ditempatkan di balai raya Kampung Pantai.
Menurutnya, jumlah itu menurun secara mendadak berbanding 1,438 penduduk berlindung di 12 PPS di empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Besut, Marang dan Kuala Nerus yang direkodkan pada jam 8 pagi Isnin.
“Seramai 76 mangsa di Marang yang berada di Sekolah Kebangsaan (SK) Berangan sudah pulang pagi tadi dan PPS tersebut ditutup secara rasmi pada jam 10 pagi.
“Empat PPS yang dibuka di Kuala Nerus pula ditutup pada jam 12 tengah hari selepas seramai 1,090 mangsa yang berada di sana balik ke rumah masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Beliau berkata, keadaan cuaca baik dan cerah turut mendorong dua PPS yang dibuka di Kuala Terengganu ditutup tiga jam kemudian.
“Sekarang, Besut merupakan satu-satunya daerah yang masih terjejas dan maklumat terkini banjir akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!