KBS pergiat usaha selesai isu berbangkit - Adam Adli
KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan mempergiat usaha menyelesaikan segala permasalahan termasuk isu berbangkit yang disuarakan persatuan sukan dan atlet dalam negara.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata, menerusi sesi libat urus yang diadakan, pihaknya sedang memperhalusi mekanisme terbaik menyelesaikan permasalahan dihadapi khususnya mengenai kebajikan atlet, fasiliti sukan dan pembangunan sukan di peringkat akar umbi.
Sekarang ini kita dalam proses untuk kumpulkan semua input yang kita ambil daripada persatuan sukan dan sukan para, atlet podium serta atlet kebangsaan.
“Menerusi sesi libat urus tempoh hari kita dapat gambaran lebih jelas tentang permasalahan dihadapi mereka, masalah yang berlarutan dan mungkin sudah pun disuarakan sebelum ini,” katanya.
Adam Adli berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis pelepasan dua wakil skuad atlet sukan elektronik negara, Todak dan Haq ke Kejohanan Dunia Mobile Legends Bang Bang M4 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang pada Isnin.
Dalam pada itu, Adam Adli memaklumkan KBS kini dalam fasa akhir memuktamadkan garis panduan menguruskan pembangunan sukan elektronik di negara ini.
Menurutnya garis panduan untuk sukan elektronik atau e-sukan itu amat penting bagi menguruskan tata kelola sukan tersebut secara lebih teratur dan selamat.
“Semua sukan dimainkan termasuk yang profesional ada garis panduan yang akan menguruskan tata kelola pengurusan sukan itu sendiri, jadi sangat penting untuk kita memiliki garis panduan seperti itu.
“E-sukan satu sukan yang tumbuh begitu rancak dalam kalangan komuniti negara ini dan garis panduan ini akan memastikan ia mempunyai organisasi yang tersusun ke arah pembangunan yang padu,” katanya.
Beliau berkata, garis panduan itu juga akan membantu golongan belia yang berkecimpung dalam sukan berkenaan sekali gus bertindak sebagai satu mekanisme efektif melindungi data penggiatnya di masa akan datang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!